LUMUT: Polis Daerah Manjung akan menggunakan dron sebagai salah satu kaedah memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di daerah Manjung khususnya di mukim Sitiawan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) mulai hari ini sehingga 11 Jun depan.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, pihaknya akan meminta bantuan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi penggunaan peralatan tersebut.
Jelasnya, perancangan pihaknya ialah menggunakan dron di tiga lokasi yang dikenal pasti berlaku jangkitan Covid-19 tinggi iaitu Kampung Pasir Panjang dan Manjung Point dalam mukim Sitiawan serta di mukim Lumut.
“Penggunaan dron ini sebagai peringatan kepada penduduk bahawa pemantauan bukan sahaja melalui rondaan biasa tetapi juga melalui udara,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Sekatan Jalan Raya (SJR) Sungai Wangi dekat sini, hari ini.
Menurut Nor Omar, laporan Pejabat Kesihatan Daerah mendapati kadar jangkitan Covid-19 di daerah Manjung masih tinggi dan pihaknya percaya ia mungkin berpunca daripada penduduk yang masih aktif bergerak antara mukim.
Justeru katanya, SJR yang dijalankan pihak polis akan sentiasa disemak dan berubah daripada masa ke semasa mengikut kesesuaian keadaan.
Tegasnya, bilangan SJR mungkin akan ditambah terutama di lokasi dikenal pasti menjadi tumpuan ramai dan disahkan berlaku kadar jangkitan tinggi.
Nor Omar juga berkata, selepas PKPD dikuatkuasakan di mukim Sitiawan tengah malam tadi, didapati masih ada pergerakan kenderaan penduduk yang kurang memahami SOP PKPD dan mereka telah diberi nasihat dan peringatan mengenai perkara tersebut. – UTUSAN