PUTRAJAYA: Penduduk negara ini sekali lagi teruja apabila dapat menyaksikan sendiri gerhana bulan penuh ‘berdarah’ secara serentak pada kira-kira pukul 7.18 petang tadi.
Fenomena itu menyaksikan seluruh permukaan bulan tiba-tiba berubah warna kemerahan apabila berlaku pembiasan cahaya matahari yang dikenali sebagai serakan Rayleigh.
Ketika gerhana berkenaan, saiz bulan kelihatan begitu besar kerana bergerak dekat pada kedudukan yang agak hampir dengan bumi iaitu jarak sejauh 357,462 kilometer sahaja.
Keadaan alamiah itu turut diakui pakar falak syarie terkenal tanah air, Hanafiah Abdul Razak yang berkata, penduduk Malaysia bertuah apabila dapat melihatnya terus secara mata kasar.
“Bulan ketika fenomena ini berlaku dikesan berada pada ketinggian 6 darjah di ufuk atau kaki langit bahagian Timur mula pukul 4.47 petang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Pembentukan gerhana separa pula ujarnya, bermula pada pukul 5.44 petang dan keadaan gerhana penuh bermula 7.11 petang dengan kemuncaknya berlaku tujuh minit kemudian.
Ia jelas beliau, berakhir selepas pukul 7.25 petang sebelum memasuki fasa separa kedua yang selesai pukul 8.52 malam dan gerhana berakhir sepenuhnya pada pukul 9.49 malam.
“Gerhana bulan penuh kali ini adalah ulangan fenomena sama selepas tiga tahun berturutan muncul pada 15 Zulkaedah 1438, 15 Zulkaedah 1439 dan 15 Zulkaedah 1440,” tambahnya.
Ironi kata Hanafiah, ia tidak berlaku pada 15 Syawal 1441 lalu seperti diramal kerana bulan berada satu garisan dengan matahari dan bumi iaitu dua titik al-Uqbah tetapi tidak satu satah. – UTUSAN ONLINE