Gagal seludup syabu bernilai RM400,000 ke Indonesia

Gagal seludup syabu ke Indonesia

DUA warga Indonesia yang cuba menyeludup keluar dadah diberkas di perairan Kuala Linggi, Melaka. - FOTO/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Cubaan dua warga Indonesia menyeludup keluar dadah bernilai RM400,000 menggunakan laluan laut gagal apabila mereka diberkas di perairan Kuala Linggi di sini awal pagi tadi. 

Kedua-dua suspek berusia 34 dan 43 tahun itu ditahan di kedudukan kira-kira 11.6 batu nautika barat daya Tanjung Dahan pada pukul 2.30 pagi. 

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, sepasukan unit peronda Operasi Belangkas 3/2021 bertindak mengejar bot fiber dinaiki suspek selepas dikesan berada dalam keadaan mencurigakan. 

“Bot tanpa nombor pendaftaran menggunakan enjin 60 kuasa kuda itu berjaya ditahan dan pasukan mendapati ia telah dikendalikan oleh dua lelaki warga Indonesia yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri. 

“Penggeledahan lanjut ke atas bot telah membawa kepada penemuan 10 bungkusan hijau disyaki dadah jenis syabu seberat kira-kira 10 kilogram bernilai RM400,000,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Mengulas lanjut, beliau berkata, kesemua dadah tersebut disembunyikan oleh suspek di dalam bekas plastik.

“Kita percaya kesemua dadah itu ingin diseludup keluar ke negara Indonesia melalui perairan Kuala Linggi. 

“Bagaimanapun, kita masih menyiasat dari mana mereka mengambil bekalan tersebut,” ujarnya.

Tambahnya, kesemua dadah dan bot fiber bernilai kira-kira RM50,000 itu  telah dirampas dan dibawa ke Jeti Maritim Kuala Linggi untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat.

Kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 39 (b) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 5 Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya