Empat premis operasi judi dipotong bekalan elektrik

Empat premis judi dipotong bekalan elektrik

NOR Omar Sappi (kanan) melihat kakitangan TNB memotong bekalan elektrik premis yang menjalankan kegiatan perjudian tanpa lesen di Sitiawan hari ini. - FOTO/SHAMSUL KAMAL AMARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Empat premis yang terus berdegil menjalankan aktiviti perjudian tanpa lesen serta judi secara kaedah tambah nilai di sini menerima padah apabila bekalan elektriknya dipotong hari ini.

Pemotongan bekalan elektrik itu melibatkan tiga premis di Sitiawan dan sebuah premis di Ayer Tawar yang dilakukan oleh pasukan polis dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, tiga daripada premis itu berselindung di sebalik perniagaan runcit manakala sebuah lagi perniagaan menjual telefon bimbit.

“Keempat-empat premis ini pernah diserbu beberapa kali sebelum ini tetapi masih berdegil dan terus menjalankan aktiviti tersebut memaksa kita memotong bekalan elektrik ke semua premis tersebut,” katanya kepada pemberita selepas mengetuai operasi pemotongan premis tersebut di Sitiawan, di sini hari ini.

Menurut Nor Omar, pengendali aktiviti haram itu dipercayai memperolehi keuntungan lumayan antara RM5,000 hingga RM10,000 sebulan dan beroperasi selama tiga hari seminggu iaitu Rabu, Sabtu dan Ahad.

Katanya, aktiviti tersebut mendapat sambutan dalam kalangan ‘tahi judi’ kerana mereka boleh membuat pertaruhan serendah 50 sen dan jika menang, wang kemenangan itu dua peratus lebih tinggi daripada aktiviti perjudian berlesen.

Nor Omar juga berkata, sejak 1 Januari lalu sehingga hari ini, polis telah melakukan 136 serbuan terhadap premis yang menjalankan kegiatan judi atas talian tanpa lesen khususnya loteri awam haram dan kaedah tambah nilai di sekitar daerah Manjung.

Daripada jumlah itu, katanya, 74 kertas siasatan dibuka dan didakwa di mahkamah manakala 12 premis dipotong bekalan elektrik.

“Sepanjang tahun lalu, sebanyak 271 serbuan dilakukan dengan 176 kertas siasatan dibuka dan didakwa di mahkamah manakala selebihnya masih dalam siasatan, 14 premis pula dipotong bekalan elektrik,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya