KOTA BHARU: Dua beradik bersama dua lagi sepupu terpaksa berkongsi telefon pintar milik ibu mereka untuk menjalani sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di Kampung Pulau Pisang sejak setahun lalu.
Dua beradik itu, Putera Dazli Hasril Mohd. Hasri 12, dan Puteri Qalaqiesya, 7, berkongsi gajet tersebut dengan sepupu iaitu Ummu Normalisya Ramli, 13, dan Ummu Normaizara, 8, yang kini dijaga nenek mereka, Engku Aziah Engku Din, 73.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Nik Normawati Othman, 38, ibu kepada Putera Dazli Hasril dan Puteri Qalaqiesya berkata, dalam keluarga mereka, hanya dia seorang memiliki telefon pintar yang boleh digunakan untuk PdPR.
Katanya, dia yang bekerja di sebuah kedai makan tidak mampu untuk membeli sebuah lagi telefon pintar lain untuk kegunaan PdPR anak dan anak saudara yang kini menumpang kasih di rumah ibunya sejak kecil.
“Mereka tiada pilihan selain perlu berkongsi telefon saya untuk sesi PdPR. Semua kerja sekolah masing-masing akan dimaklumkan oleh guru mereka menerusi aplikasi WhatsApp. Saya akan beri mereka berempat bergilir-gilir mengikuti PdPR masing-masing.
“Bergantung kepada nasib dan masa. Sekiranya sempat, hanya salah seorang daripada mereka akan dapat masuk sesi masing-masing. Siapa yang terlepas sesi terpaksa tanya guru semula selepas itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.
Menurut Nik Normawati, ketika ini, dia sedang bercuti tanpa gaji kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan keadaan itu membolehkan anak dan anak saudaranya menggunakan telefon pintarnya.
Ketika ini, suaminya, Mohd.Hasri Omar, 39, tidak tinggal bersama kerana merantau ke Johor mencari rezeki sebagai buruh di sana sebelum terperangkap dan tidak dapat pulang ke kampung halaman akibat PKP.
“Saya akan kembali bekerja pada minggu depan. Jadi anak dan anak saudara hanya boleh mengikuti PdPR sekitar pukul 8 hingga 10 malam sahaja iaitu selepas saya balik dari kerja.
“Saya akui kerja sekolah mereka banyak yang tidak dapat disiapkan sejak sesi PdPR dilaksanakan. Bagaimanapun, saya akan cuba memantau semua kerja sekolah supaya dapat disiapkan sebelum sesi persekolahan bersemuka dibuka pada 13 Jun depan,” katanya. – UTUSAN