PETALING JAYA: Sindiket pengedaran dadah tumpas selepas empat individu ditahan dalam serbuan di Bandar Bukit Jalil, Cheras dekat sini pada 16 Mei lalu.
Serbuan kira-kira pukul 12.30 tengah malam dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields itu turut merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM204,943.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, kesemua yang ditahan terdiri daripada tiga lelaki serta seorang wanita berusia 28 hingga 45 tahun.
Menurutnya, siasatan awal mendapati sindiket tersebut dipercayai menjalankan kegiatan mengedar di sekitar Lembah Klang.
“Semakan mendapati keempat-empat suspek mempunyai rekod lampau dadah mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Pelbagai dadah dirampas disyaki syabu seberat 5,182 gram, serbuk MDMA (anggaran berat 299.4 gram), pil Erimin 5 (anggaran berat 0.3 gram), pil ekstasi (anggaran berat 5.7 gram), Lysergic Acid Diethylamide (sekeping) dan ketamin (anggaran berat 0.6 gram),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Anuar berkata, pihaknya turut merampas Mercedes Benz bernilai RM180,000, Honda City (RM18,000), Perodua Alza (RM25,000), mata wang asing, telefon bimbit pelbagai jenama dengan nilai sitaan RM223,058 serta wang tunai RM165 dan nilai keseluruhan adalah RM428,166.
Ujarnya, ujian saringan awal mendapati suspek positif methamphetamine.
“Siasatan lanjut masih diteruskan untuk mengenalpasti ahli sindiket yang terbabit dan sumber bekalan yang diperolehi. Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas boleh dibekalkan kepada 10,600 penagih.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika disabitkan dengan kesalahan boleh membawa hukuman gantung sampai mati,” katanya.- UTUSAN ONLINE