IPOH: Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini mengesahkan pelakon, Datin Paduka Eina Azman dan suaminya menerima suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di hospital itu, kelmarin.
Pengarah HRPB, Dr. Abdul Malek Osman berkata, kelayakan pemberian vaksin kepada Eina dan suami, Datuk Paduka Kaiser Gurmeeet Harden itu adalah berdasarkan rujukan doktor pakar atas masalah kesihatan dan komorbid yang dihadapi mereka.
Katanya, pemberian suntikan vaksin untuk fasa kedua diberi keutamaan kepada golongan berusia 60 tahun ke atas dan individu yang mempunyai komorbiditi serta golongan berisiko tinggi.
“Pihak hospital mengambil maklum isu tular di laman sosial berkaitan seorang artis wanita dan pasangan yang didakwa telah memotong barisan dan mengambil suntikan vaksin Covid-19 di Ipoh.
“Berdasarkan semakan, tiada isu potong barisan membabitkan pemberian suntikan vaksin itu kerana pasangan terbabit telah dimasukkan ke dalam senarai penerima atas nasihat doktor pakar kerana dikategorikan dalam golongan berisiko tinggi.
“Pasangan itu menerima suntikan berkenaan di PPV HRPB pada 25 Mei lalu,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.
Menurut Abdul Malek, PPV HRPB menerima rujukan pesakit atau pelanggan daripada pelbagai fasiliti kesihatan dari dalam dan luar negeri Perak.
Jelasnya, semua pesakit atau pelanggan yang dirujuk kepada PPV itu telah menjalani pemeriksaan awal iaitu ‘Pre Vaccination Assesment’ (PVA) yang hanya boleh didapati di klinik-klinik pakar perubatan hospital.
“PPV HRPB hanya memberi suntikan vaksin kepada pesakit atau pelanggan yang telah dirujuk dan tidak melakukan PVA tersebut di fasiliti PPV hospital ini,” katanya.
Dalam pada itu beliau menyeru, orang ramai terutama golongan berisiko tinggi untuk membuat pendaftaran suntikan vaksin melalui aplikasi MySejahtera atau melayari laman sesawang https://www.vaksincovid.gov.my
Terdahulu, dua keping gambar dimuat naik Eina di laman Instagramnya, pada Selasa lalu telah mencetuskan perdebatan warga maya yang mempersoalkan bagaimana ibu kepada dua cahaya mata kembar itu boleh mendapat jalan pintas untuk suntikan berkenaan.
Hantaran itu juga mengundang persoalan mengenai pelanggaran SOP rentas negeri tanpa alasan yang kukuh oleh pasangan terbabit.
Eina bagaimanapun telah memadamkan gambar berkenaan. – UTUSAN ONLINE