JEMPOL: Dua lelaki yang merupakan pengedar dadah diberkas polis dalam tangkapan berasingan di tandas awam, stesen bas pekan Batu Kikir di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, kira-kira pukul 9.05 pagi, anggotanya menangkap seorang lelaki berusia 48 tahun dan pemeriksaan mendapati lelaki itu memiliki tujuh peket plastik pelbagai saiz berisi bahan disyaki dadah berbahaya jenis heroin seberat 9.45 gam.
Menurutnya, suspek yang mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah sudah terlibat dalam najis dadah sejak lima tahun lalu.
“Tangkapan kedua pula membabitkan seorang lelaki berusia 43 tahun di tepi tandas awam yang sama pada pukul 9.35 pagi dan hasil pemeriksaan menemukan empat peket plastik pelbagai saiz berisi bahan disyaki dadah berbahaya jenis heroin seberat 6.89 gram.
“Suspek yang sudah terlibat dalam penyalahgunaan dadah sejak sembilan tahun lalu mempunyai tiga rekod lampau membabitkan dadah,” katanya dalam kenyataan di sini.
Sementara itu, Chang Hook berkata, empat lagi lelaki berusia 31 tahun hingga 51 tahun ditangkap dalam satu serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol di bahagian belakang sebuah rumah Felda Pasoh 2, dekat sini tengah malam semalam.
Menurutnya, hasil pemeriksaan menemukan tiga peket plastik pelbagai saiz dan satu tiub straw berisi bahan disyaki dadah berbahaya jenis heroin seberat 6.60 gram.
“Polis turut menemukan tiga peket plastik pelbagai saiz berisi ketulan jernih disyaki dadah berbahaya jenis syabu seberat 1.30 gram.
“Kesemua suspek mempunyai rekod berkaitan dadah dan salah seorangnya berusia 41 tahun merupakan individu yang dikehendaki dalam satu kes berkaitan dadah di Melang, Kuala Pilah,” katanya.
Empat lelaki yang ditangkap dalam serbuan berkenaan kini ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam manakala permohonan reman dua lagi lelaki yang ditangkap di tandas awam pula akan dikemukakan hari ini,” katanya.
Kesemua mereka disiasat di bawah Seksyen 39 A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 12 (2) ADB 1952. – UTUSAN ONLINE