BUKIT MERTAJAM: Polis berjaya melumpuhkan kegiatan jenayah ragut dan samun di sekitar Bukit Tengah dan Seberang Jaya di sini dengan tertangkapnya dua lelaki di lokasi berbeza malam semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abdul Samad berkata, terdahulu kedua-dua suspek berusia 27 dan 26 tahun itu diburu selepas meragut rantai emas seorang wanita berusia 41 tahun dan mencederakannya.
Katanya, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 7.30 pagi minggu lepas di Jalan Taman Setia, Bukit Tengah di sini ketika mangsa sedang menunggang motosikal.
Menurut Shafee, selain merenggut rantai emas di leher mangsa hingga terjatuh, salah seorang suspek juga didakwa memukul mangsa menggunakan topi keledar di bahagian kepala hingga cedera.
“Susulan kejadian itu, gerakan memburu kedua-dua suspek dilancarkan sebelum tangkapan pertama berjaya dilakukan kira-kira pukul 11.30 malam semalam di Taman Seri Pengkalan, Bukit Tengah di sini.
“Dalam tangkapan itu, polis berjaya merampas sebuah beg bimbit berwarna hitam, sebuah telefon bimbit berwarna biru dan satu unit fon telinga tanpa wayar berwarna putih,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Jelas Shafee, siasatan lanjut mendapati suspek pertama turut memiliki 10 kes berkaitan curi, ragut dan samun, satu kes pecah rumah, satu kes di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 serta empat kes berkaitan dadah.
Sementara itu katanya, suspek kedua pula ditangkap kira-kira pukul 1.10 pagi tadi di Taman Pauh, Bukit Tengah di sini.
“Antara barangan yang dirampas dalam tangkapan itu pula termasuk sebuah telefon bimbit, sebatang anak kunci, sehelai jaket merah, sehelai seluar biru, sebuah motosikal dan dua buah topi keledar masing-masing berwarna biru dan hitam,” katanya.
Shafee berkata, soal siasat yang dijalankan terhadap kedua-dua suspek mengesahkan mereka sering melakukan kegiatan samun di sekitar Bukit Tengah dan Seberang Jaya ketika ini.
“Kedua-dua suspek juga mengaku membuang barang-barang atau dokumen peribadi milik mangsa ke dalam sebuah longkang besar di hadapan bangunan MBSP (Majlis Bandaraya Seberang Perai) manakala rantai leher yang diragut dijual di kedai pajak gadai di situ.
“Pada masa sama, mereka juga mengaku telah melakukan perbuatan khianat dengan memecahkan cermin kereta di Seberang Jaya dan Kepala Batas,” katanya yang memaklumkan bahawa setiap kegiatan samun atau ragut itu dilakukan secara bersama-sama sama ada menaiki motosikal atau berasingan. – UTUSAN