Dua lelaki miliki ganja seberat 203kg ditahan - Utusan Malaysia

Dua lelaki miliki ganja seberat 203kg ditahan

MOHD. Roze Shaari (dua dari kanan) menunjukkan sebahagian dadah jenis ganja yang dirampas di IPK Kedah, Alor Setar, hari ini. - UTUSAN/JAMLIAH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Polis menahan dua lelaki dan merampas dadah jenis ganja seberat 203 kilogram (kg) yang bernilai RM506,635 dalam tiga serbuan di negeri ini dan Perlis, Sabtu lalu.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd. Roze Shaari berkata, serbuan tersebut membabitkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis (IPK) Kedah bersama polis Bukit Aman dan IPK Perlis.

“Serbuan pertama pada pukul 1.45 petang ke atas sebuah kereta Proton Inspira di tempat letak kereta sebuah pasar raya di Changlun, Kubang Pasu dekat sini dan menahan seorang lelaki berusia 31 tahun.

“Hasil pemeriksaan dalam bonet kereta itu menjumpai enam guni putih yang berisi 20 ketulan berbalut kertas kuning keemasan dan plastik lutsinar yang berisi mampatan dedaun hijau disyaki dadah jenis ganja anggaran berat 121,785 gram,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Kedah di sini, hari ini.

Beliau memberitahu, serbuan kedua pada pukul 3 petang pula dilakukan di sebuah rumah di Kampung Padang Satu Bukit Kayu Hitam, Kubang Pasu, dekat sini.

Menurutnya, polis yang melakukan pemeriksaan dalam bilik di rumah itu menjumpai empat guni warna putih berisi 81 ketulan disyaki dadah jenis ganja anggaran berat 80,869 gram.

Bagaimanapun, katanya, tiada tangkapan dilakukan di rumah berkenaan.

“Sementara serbuan ketiga pada sebelah malamnya, di rumah Kampung Melayu Padang Besar, Perlis menahan seorang lagi lelaki berusia 30 tahun untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Katanya, polis turut menyita dua kenderaan jenis BMW dan Ford Ranger dalam serbuan di Perlis dengan nilai keseluruhan sitaan sebanyak RM130,000.

Tambahnya, kedua-dua lelaki yang ditahan itu merupakan penganggur dan suspek pertama mempunyai tiga rekod jenayah dan positif saringan dadah jenis methamphetamine.

Menurutnya, mereka direman selama tujuh hari sejak 22 Mei lepas.

“Polis percayai dadah yang dirampas itu diseludup dari negara jiran untuk pasaran di utara tanah air.

“Kita kini mengenal pasti laluan tikus yang digunakan untuk menyeludup dadah tersebut kerana kita syaki kegiatan mereka bukan baru. Polis juga tidak menolak kemungkinan suspek guna laluan laut,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya