TAIPING: Dua jemaah dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak memakai pelitup muka ketika menunaikan solat Maghrib berjemaah di dua buah masjid di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, mereka dikompaun RM1,500 setiap seorang iaitu seorang jemaah di Masjid Tengku Menteri, Matang dan Masjid Ar Rahmaniah, Kampung Matang Gelugor, di sini.
Katanya, jemaah berkenaan dikompaun dalam operasi oleh Pejabat Agama Daerah Taiping yang disertai anggota polis yang turut menunaikan solat Maghrib.
“Dalam operasi di Masjid Tengku Menteri, seramai 27 jemaah menunaikan solat Magrib dan seorang daripadanya didapati tidak memakai pelitup muka.
“Pemeriksaan di Masjid Ar Rahmaniah pula mendapati seorang lelaki tidak memakai pelitup muka ketika berada di dalam masjid berkenaan.
“Kedua-duanya yang masing-masing berumur 74 dan 57 tahun dikompaun RM1,500 setiap seorang di bawah Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021 (P.U.(A) 225/2021),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, mengenai tular gambar beberapa anggota polis sedang solat di barisan belakang jemaah di sebuah masjid, Osman menegaskan, gambar itu adalah benar.
“Anggota polis berkenaan melaksanakan perkara yang wajib terlebih dahulu sebelum menjalankan operasi dan mengambil tindakan terhadap jemaah yang melanggar SOP,” katanya. – UTUSAN