TEMERLOH: Penularan pandemik Covid-19 ketika ini menjadi satu tragedi cukup menyayat hati kepada dunia termasuk Malaysia.
Cukup tragis dan sedih melihat jumlah kumulatif kes positif Covid 19 di seluruh dunia kini yang melebihi 165 juta kes dengan angka kematian mencecah 3.5 juta.
Begitu juga di Malaysia, lebih 500,000 kes dilaporkan dengan kematian lebih 2,000 orang.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dan 2.0 termasuk Darurat Kesihatan, namun apa diharapkan tidak berlaku, sebaliknya penularan pandemik berkenaan semakin parah.
“Saya sendiri cukup pilu apabila kehilangan kawan-kawan seperti Timbalan Pengerusi Tetap UMNO, Allahyarham Datuk Seri Rizuan Abd. Hamid dan Allahyarham Datuk Seri Mohamad Ismail akibat pandemik ini. Ada lagi beberapa kawan dan kenalan saya yang sedang bertarung nyawa berada di fasa ketiga dan keempat akibat pandemik pembunuh senyap ini.
“Pandemik ini makin membimbangkan, kini wujud pula varian-varian baharu di negara inj seperti B. 1.351 dari Afrika Selatan, B.1.1.7 yang berasal dari United Kingdom (UK), B.1.429 dan B.1.427 dari California, Amerika Syarikat (AS) dan P.1 dari Japan atau Brazil.
“Apa yang cukup membimbangkan dengan kemunculan varian-varian baharu berkenaan, saringan biasanya menunjukkan keputusan negatif walaupun pesakit sudah berada pada tahap yang serius,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Sharkar yang juga Exco Kerajaan Negeri Pahang berkata, beliau berpandangan, sepatutnya dengan apa yang dilakukan iaitu PKP 1.0, 2.0 dan Darurat Kesihatan, Malaysia ebih baik dari segi membendung penularan pandemik halimunan berkenaan.
Jelasnya, kerajaan perlu melihat perkara tersebut dan apa yang penting belajar dari negara-negara seperti New Zealand dan Australia yang dapat mengawal penularan COVID-19 dengan baik.
“Antara faktor kejayaan dua negara itu adalah fokus yang diberikan oleh rakyat negara masing-masing terhadap pentingnya menjaga nyawa rakyat berbanding kepentingan politik peribadi dan populariti.
“Saya sedih melihat jumlah kes positif dan kematian yang semakin meningkat setiap hari di negara ini, apa sebenarnya yang kerajaan ingin capai dari angka berkenaan? Kita perlu belajar dari New Zealand dan Australia bagi memastikan tidak berlaku situasi yang makin parah dan buruk di negara ini.
“Kerajaan perlu serius mengenal pasti dari mana munculnya varian-varian baharu itu, apakah dari kluster ibadah, tempat kerja dan sebagainya. Fokus perlu diberikan terhadap permasalahan utama rakyat iaitu nyawa dan kesihatan, soal lain perlu dilupakan,” katanya.
Menurutnya, kerajaan perlu bersungguh-sungguh dalam mendidik rakyat untuk bersama-sama menggembleng tenaga dan fikiran bagi mencegah penularan wabak ini, jangan mengelirukan rakyat sebaliknya kerajaan perlu serius dan bertegas dalam pelaksanaannya.
Begitu juga dalam soal vaksin, katanya, tekankan betapa pentingnya rakyat perlu mengambilnya dan antara sebab utamanya untuk mengelak peningkatan kes jangkitan setiap hari sekali gus mengurangkan jumlah pesakit yang dimasukkan ke hospital.
“Ambil contoh apa berlaku di India, infrastruktur kesihatan dan keperluan asas perubatan untuk merawat Covid-19 sangat tidak mencukupi, dengan kes harian pernah mencatat ratusan ribu.
“Tsunami Covid-19 di India sewajarnya menginsafkan kita. Apakah kita mahu situasi yang berlaku di India turut terjadi di negara ini? Tepuk dada tanya selera.
“Jangan kita leka, jangan kita alpa. Jangan kita menyesal nanti apabila kes jangkitan dan kematian di negara ini sama seperti apa berlaku di India. Ketika itu, menyesal pun tidak berguna lagi,” katanya. – UTUSAN ONLINE