KUANTAN: Rakyat negeri ini disaran bertindak pantas dan segera ke fasiliti kesihatan berhampiran untuk membuat ujian saringan pengesanan Covid-19 sekiranya mempunyai tanda-tanda bergejala.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Bahari Che Awang Ngah berkata, trend wabak berkenaan menunjukkan peningkatan kes bergejala hampir sekali ganda berbanding sebelum ini.
“Kes bergejala ini berpotensi menjangkiti lebih ramai orang disebabkan kadar keberjangkitan yang tinggi terutamanya jika kes lambat dikesan dan dikuarantin.
“Peningkatan kes juga dicatatkan konsisten bermula daripada pertengahan bulan Mac lalu sehingga sekarang khusunya daerah Kuantan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sehingga semalam, terdapat 8,649 kes di Pahang di mana 1,002 kes Covid-19 dilaporkan di Kuantan sahaja.
Pada awal Mac lalu, kurang daripada 10 kes sehari dilaporkan namun meningkat kepada purata 80 hingga 100 kes sehari bermula 14 Mei lalu (hari raya kedua).
Dr. Bahari turut menjelaskan, kebanyakan kes berpunca daripada kluster aktif sedia ada di daerah Kuantan serta kontak rapat kes.
“Hampir semua lokaliti di daerah Kuantan mempunyai kes aktif sehingga menyebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) terpaksa dilaksanakan bagi membendung penularan jangkitan sebelum ianya menjadi tidak terkawal.
“Namun begitu, bilangan pesakit di hospital telah pun meningkat lima kali ganda dalam tempoh satu bulan dan pihak kami terpaksa menambah prasarana serta melakukan mobilisasi kakitangan bagi merawat bilangan pesakit yang kian meningkat.
“Jika keadaan ini berterusan, dibimbangi kakitangan kesihatan sedia ada tidak cukup untuk memberikan perkhidmatan kepada pesakit-pesakit,” katanya.
Sementara itu, katanya, rakyat perlu mengambil perhatian serius berhubung peningkatan wabak pendemik ini khususnya daerah Kuantan.
“Saya yakin pelaksanaan PKPD ini akan mengurangkan kes jika semua anggota masyarakat mematuhi arahan kawalan pergerakan. Semua penduduk perlulah menghadkan pergerakan melainkan jika perlu. Amalkan kuarantin kendiri.
“Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dapat mengurangkan jumlah kes seterusnya PKPD akan dapat ditamatkan seperti yang dirancang,” katanya. – UTUSAN ONLINE