Cik Liyana jadi ‘tukang beli’ hantar barang warga emas bersendirian

Cik Liyana jadi ‘tukang beli’ hantar barang kepada warga emas bersendirian

NOR Ilyana Artikah menghantar makanan segera dipesan salah seorang pelanggannya di Pasir Puteh, Kelantan, baru-baru ini. – FOTO/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Nor Ilyana Artikah Shamsul dari Kampung Gong Kemudu di sini, mencari rezeki halal dengan cara menawarkan perkhidmatan beli dan hantar barang untuk warga emas bersendirian di sekitar daerah ini, Melor dan Kok Lanas, yang terkesan akibat Perintah Kawalan Perge­rakan (PKP).

Upah dikenakan gadis berusia 23 tahun itu hanya RM10 hingga RM13 tanpa mengira jarak dekat atau jauh dan antara yang kerap dibelikan sebelum dihantar rapat ke tangga rumah pelanggan ialah makanan, barang dapur serta barang keperluan harian.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemegang Diploma Teknologi Maklumat (IT) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jasin, Melaka itu menegaskan, fokus perkhidmatan itu bukan meraih keuntungan berlipat kali ganda, sebaliknya lebih kepada kerja kebajikan untuk dijadikan bekalan di akhirat.

Gadis yang mesra dengan panggilan Cik Liyana itu berkata, dia melakukan kerja sebagai ‘tukang beli’ itu kerana simpati melihat nasib golongan berusia 60 tahun ke atas yang tidak dapat bergerak bebas terutama ketika PKP ini.

“Disebabkan larangan rentas daerah dan negeri, ramai warga tua di negeri ini bersendirian kerana terpisah daripada anak cucu di perantauan yang tidak dapat pulang menjenguk mereka selama berbulan-bulan lamanya.

“Dalam masa sama, prosedur operasi standard (SOP) pula melarang golongan berusia 60 tahun ke atas masuk ke premis-premis per­niagaan atau keluar dari rumah sedangkan mereka masih perlu ke­luar untuk membeli makanan atau barangan keperluan,” katanya.

Menurut Nor Ilyana Artikah, selain warga tua, perkhidmatannya sebagai tukang beli turut ditawarkan kepada ibu mengandung yang mengidam sesuatu, ibu beranak kecil serta golongan berisiko yang mahu mengelak ke luar rumah dan bersesak di tempat awam.

Katanya, dia pernah ditipu pelanggan yang memesan bara­ngan dan makanan tetapi enggan menerima barangan dipesan sehingga dia berdepan kerugian selepas mengeluarkan duit sendiri, namun kejadian itu tidak mele­mahkan semangatnya untuk te­rus membantu orang lain.

“Saya ambil iktibar daripada kejadian itu dan untuk mengelak kerugian besar, kini saya menetapkan syarat perlu lunaskan bayaran terlebih dahulu menerusi perbankan atas talian bagi bara­ngan yang berharga RM100 ke atas.

“Setakat ini saya hanya mampu ambil lima pelanggan sahaja setiap hari. Pada sebelah pagi saya buat dua kali belian bara­ngan dapur dan keperluan hari­an manakala pada sebelah petang, tiga kali belian fast food atau makanan segera,” katanya.

Tambah Nor Ilyana Artikah, dia bertuah kerana suaminya, Haziq Mohd. Rasdam, 24, yang menguruskan kebun kelapa sawit sentiasa memberi dorongan untuk dia meneruskan perkhidmatannya selain membantu menguar-uarkan perkara itu di media sosial.

“Dalam keadaan sukar dapat kerja sekarang, saya tidak boleh memilih kerja sangat. Asalkan halal dan selagi tidak melanggar undang-undang, saya akan teruskan kerja sebagai tukang beli ini,” kata. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya