PANDEMIK Covid-19 yang masih belum berakhir memberi kesan kepada banyak pihak, terutamanya peniaga kecil yang bergantung kepada pendapatan hasil jualan harian.
Namun dari satu segi, pandemik juga mengajar kita untuk lebih berdaya tahan dan kreatif mencari rezeki. Lapangan perniagaan juga berubah dan dalam kesempitan, pandemik membuka ruang-ruang dalam perniagaan yang sebelum ini dilihat tidak menguntungkan.
Itu yang dilalui Mohd. Najib Abdul Shukor, 36, yang sedikit tersekat rezekinya dalam perniagaan ruang acara dan studio di SS7, Petaling Jaya akibat pandemik. Namun, ia tidak menghentikan semangatnya untuk terus mengisi hidup dengan mencari rezeki.
Ketika kurang rezeki diperoleh daripada ruang acara, ada rezeki lain terbuka apabila dia dan beberapa rakan lain mendapat idea untuk memulakan perniagaan makanan dan minuman (F&B).
Sebagai nama yang dikenali dalam lapangan muzik independen negara, Mohd. Najib memang biasa menerima kedatangan kugiran independen ke studio dan ruang acaranya. Tanpa disangka-sangka, pertemuannya dengan kugiran Hacktick! dan pasukan krewnya, Hacktech membuka ruang perniagaan baharu.
“Pernah sekali sewaktu kami buat strim langsung di Atas (ruang acara miliknya), mereka bawa makanan. Saya ingat makanan itu dibeli, rupanya mereka masak sendiri.
“Rupa-rupanya salah seorang daripada mereka pernah jadi chef di hotel terkemuka. Dari situ saya tanya mereka, berani tak nak buka restoran? Mereka setuju,” kongsinya ketika ditemui di restoran miliknya, Chengkerama yang turut terletak di SS7, Petaling Jaya.
Cabarannya bukan mudah. Ketika Chengkerama dibuka, mereka dikejutkan dengan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 oleh kerajaan. Segala pelan menjadi haru-biru kerana model perniagaan perlu diubah daripada kedai makan kepada berasaskan penghantaran seratus peratus.
“Kami kena ubah semua. Agak kelam-kabut sebab dua hari pertama kami hanya ada seorang penghantar. Susah untuk berniaga berasaskan penghantaran sebab tiada siapa kenal kami, terpaksa harapkan kawan-kawan,” katanya.
Namun, peristiwa itu juga yang menjadikan Chengkerama seperti yang dikenali sekarang. Idea asal untuk menyediakan menu berasaskan masakan Melayu diubah kepada menu Barat bagi memudahkan urusan pembungkusan dan penghantaran.
Kata Mohd. Najib, menunya akan sentiasa disemak bagi memastikan hidangan terbaik dapat disampaikan kepada pelanggan. Ketika ini, kebanyakan menu mereka berasaskan Barat, terutamanya pasta dan burger.
“Semua menu kami makanan pengenalan (signature dish), memang itu cara kami. Kami tak mahu orang datang fikir mahu makan apa, semuanya istimewa,” jelasnya.
Menu-menu yang ditawarkan boleh dikatakan premium. Mungkin agak mahal sebagai makanan harian namun dalam kategorinya, ia boleh dikatakan murah.
“Kami perlu pastikan harga tidak melebihi RM20 kerana ini kawasan kelas pekerja.
“Memang konsep saya apabila mengusahakan sesuatu, saya mengutamakan kualiti. Sama seperti Atas, saya tak mahu pengunjung keluar dengan rasa tak puas hati,” kongsinya.
Dalam tempoh hampir lima bulan kewujudannya, Chengkerama kini semakin stabil dengan liputan pelanggannya telah berkembang dengan lebih luas. Jika sebelum ini, rakan-rakan sahaja yang menyokong, ia kini mula mendapat perhatian penduduk sekitar kawasan itu.
Mohd. Najib menjangkakan fasa bergelut untuk Chengkerama akan berterusan dalam tempoh satu atau dua tahun lagi.
“Kami belum kaya lagi tapi terus bertahan. Memang bergelut tetapi setakat ini, ia cukup,” katanya.
Yang menarik tentang Chengkerama
* Nama Chengkerama dipilih oleh Hyke, vokalis kugiran Hacktick!. Ia bermaksud bersantai-santai dalam bahasa Sanskrit.
*Ketua tukang masaknya berusia 28 tahun, seorang graduan Diploma Kulinari
*Chengkerama terletak di bangunan bersebelahan dengan studio serta ruang acara Atas by Bijanfx
*Pinggan yang digunakan adalah dari koleksi pinggan antik milik arwah nenek Mohd. Najib.
-UTUSAN ONLINE