KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa mengiklankan jawatan Pengerusi Prasarana Malaysia Bhd. (Prasarana)yang kini kosong susulan perkhidmatan penyandangnya sebelum ini, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman ditamatkan.
Bekas Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad berkata, sudah tiba masanya kerajaan menggunakan pendekatan berbeza bagi mengisi kekosongan jawatan berkenaan walaupun melibatkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Pun begitu, menurutnya, selain daripada golongan profesional dan benar-benar faham mengenai agama Islam, seseorang calon juga mestilah intelektual untuk meletakkan Prasarana ke tahap pencapaian lebih tinggi.
“Memang sebelum ini tidak pernah dilakukan kerana ia melibatkan jawatan tertinggi dalam GLC, namun saya berpendapat tidak salah jika kerajaan menggunakan pendekatan yang berbeza bagi membolehkan jawatan tersebut diisi.
“Selain itu, jika kerajaan mengiklan kekosongan jawatan ini secara terbuka untuk diisi orang ramai, saya yakin ramai yang akan memohon terutama golongan profesional dan terpelajar.
“Saya yakin antara yang memohon ialah para graduan yang mempunyai kelulusan serta pengetahuan dalam pelbagai bidang termasuk poengangkuran dari universiti-universiti tempatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kelmarin, perkhidmatan Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak dari UMNO sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana ditamatkan berkuat kuasa serta merta.
Perkara itu dinyatakan dalam sepucuk surat yang ditandatangani Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Keputusan penamatan perkhidmatan itu ekoran Tajuddin yang mendapat kecaman susulan kenyataan ketika mengendalikan sidang media yang didakwa tidak profesional mengenai kemalangan Transit Aliran Ringan (LRT) baru-baru ini.
Terbaru, Tajuddin tidak peduli dengan berita penamatannya sebagai Pengerusi Prasarana dan ia bukan suatu keadaan yang mendesak.
Mengulas lanjut, kata Ismail Mina, melalui iklan itu juga, Prasarana boleh mewujudkan panel temu duga yang boleh menilai kesesuaian calon bagi mengisi jawatan tersebut.
“Ketika inilah peranan panel temu duga itu amat penting kerana calon yang dipilih akan menentukan hala tuju, pencapaian serta masa depan Prasarana,” katanya. – UTUSAN ONLINE