KANGAR: Suspek penyeludupan ketum mencampakkan bungkusan plastik hitam disyaki daun ketum ke laut sebelum menukar haluan ke kawasan daratan berhampiran bagi meloloskan diri daripada penguat kuasa.
Bagaimanapun, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Kuala Perlis menggagalkan cubaan menyeludup itu apabila merampas daun ketum seberat 255 kilogram bernilai RM45,900 pada kedudukan 3.0 batu nautika daripada barat daya muara Kuala Perlis, di sini semalam.
Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Shafie Paing berkata, pihaknya mengesan sebuah bot kayu tanpa nombor pendaftaran dalam keadaan mencurigakan sedang keluar dari Pulau Ketam, Kuala Perlis menuju ke arah sempadan Thailand sekitar pukul 6.40 petang.
Katanya, sebaik sahaja menyedari kehadiran pihak berkuasa yang sedang mengejar bot tersebut, suspek bertindak mencampakkan bungkusan plastik hitam disyaki daun ketum ke laut dan menukar haluan bagi melarikan diri ke daratan berhampiran.
“Hasil pemeriksaan dan tinjauan di kawasan itu menemukan 17 bungkusan plastik hitam yang disyaki daun ketum seberat 255 kilogram dianggarkan bernilai RM45,900 dipercayai cuba diseludup ke negara jiran.
“Modus operandi penyeludupan keluar daun ketum ke negara jiran yang dilakukan mereka adalah sama seperti tangkapan sebelum ini iaitu menggunakan bot kayu enjin sangkut bergalah menuju ke sempadan Thailand untuk dipindah ke bot-bot nelayan Thailand di sempadan perairan Thailand.
“Kami percaya ini adalah jenayah yang terancang dan akan menjejaki dalang utama sindiket itu bagi memastikan aktiviti penyeludupan daun ketum ini dapat dilumpuhkan,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, semua hasil rampasan tersebut dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut.
“Suspek yang didapati bersalah boleh dijatuhi hukuman denda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE