Cahaya 'Aidilfitri' buat Bakriah, suami dan dua anak

Cahaya ‘Aidilfitri’ buat keluarga Bakriah

GAN Ay Ling (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Bakriah Mohd. Abu Bakar ketika melawat rumahnya di Jalan Sekolah Derma, Kangar, Perlis, semalam. - FOTO/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Keresahan empat sekeluarga di Jalan Sekolah Derma di sini menyambut Aidilfitri dalam keadaan rumah usang dan reput akibat dimakan anai-anai seperti dilaporkan Utusan Malaysia Isnin lalu sedikit terubat apabila ada pihak tampil membantu membaik pulih kediaman tersebut.

Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menziarahi keluarga tersebut bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, Gan Ay Ling kelmarin, memberi jaminan akan membantu membaik pulih kediaman tersebut khususnya di bahagian terjejas seperti dinding, tangga dan bahagian bumbung yang bocor.

Ay Ling berkata, dia berterima kasih kepada NGO terbabit yang sudi menziarahi dan tampil memberikan bantuan kepada keluarga itu.

Katanya, usaha untuk membaik pulih kediaman tersebut cukup bermakna kepada keluarga berkenaan khususnya dalam menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.

“Saya berharap tempat tinggal yang lebih selamat, kukuh dan selesa akan membolehkan anak-anak keluarga berkenaan boleh menumpukan perhatian dalam pembelajaran tanpa perlu berasa risau dan resah lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Isnin lalu, akhbar ini melaporkan, empat sekeluarga di Jalan Sekolah Derma di sini buntu dalam menyambut lebaran apabila melihat struktur kediaman mereka yang usang dan reput akibat dimakan anai-anai.

Ibarat ‘bom jangka’ rumah kayu berusia 50 tahun itu bila-bila masa sahaja boleh rebah menyembah bumi sekali gus bakal meragut ketenangan keluarga berkenaan menyambut Aidilfitri.

Bakriah Mohd. Abu Bakar, 53, berkata, rumah tersebut mengalami kerosakan teruk selepas menjadi ‘mangsa’ anai-anai terutamanya di bahagian lantai, tiang dan bumbung.

Dia bersama suami yang bekerja sebagai pencuci tandas awam dan mempunyai dua orang anak berusia 19 serta 10 tahun itu tinggal di kediaman berkenaan sejak 2012 atas ihsan pemilik rumah terbabit.

Tambah Ay Ling, sememangnya menjadi tanggungjawab beliau sebagai wakil rakyat untuk sentiasa mengambil berat dan menjaga kebajikan serta kesejahteraan rakyat di sini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN