Bungkus dadah di jirat Cina - Utusan Malaysia

Bungkus dadah di jirat Cina

KAWASAN jirat Cina di Cheng, Melaka yang dijadikan tempat mengedar dadah oleh dua lelaki. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Dua lelaki dicekup polis selepas dipercayai menjadikan tanah perkuburan Cina sebagai tempat mengedar dadah di Cheng di sini, kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira pukul 1 petang itu, kedua-dua tokan dadah yang ditahan berusia 40 dan 42 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Superintenden Zulkiflee Rashid berkata, kedua-dua suspek masing-masing seorang lelaki Melayu dan India dicekup ketika sedang leka membungkus bahan dipercayai dadah jenis heroin.

“Hasil risikan, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah menangkap dua lelaki tokan dadah di sebuah tanah perkuburan Cina, petang kelmarin.

“Hasil pemeriksaan, kita menjumpai empat peket plastik lutsinar dipercayai dadah jenis heroin seberat 18 gram yang baru dibungkus suspek di jirat tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, beliau berkata, hasil soal siasat dilakukan, suspek mengakui baharu sahaja menjadikan tanah perkuburan itu sebagai ‘port’ mengedar dadah kepada penagih setempat.

“Sebelum ini mereka mendakwa mengedar di tapak pelupusan sampah di Krubong, namun terpaksa berpindah selepas pasukan polis selalu membuat serbuan di lokasi berkenaan.

“Suspek kemudian menjadikan jirat Cina itu sebagai lokasi baru sejak beberapa hari lalu untuk mengelak kegiatan mereka dihidu pihak polis,” jelasnya.

Tambahnya, hasil saringan ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif morfin dan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Katanya, suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya