Buang sampah di Pulau Jerejak: CAP gesa dedah hasil siasatan 

Buang sampah di Pulau Jerejak: CAP gesa dedah hasil siasatan 

CAP menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang mendedahkan hasil siasatan dan tindakan undang-undang yang diambil terhadap pihak yang terlibat dengan kejadian pembuangan sampah di Pulau Jerejak, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan negeri mendedahkan hasil siasatan dan tindakan undang-undang yang diambil terhadap pihak yang terlibat dengan kejadian pembuangan sampah di Pulau Jerejak, di sini baru-baru ini. 

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, gesaan itu dibuat memandangkan masalah yang berlaku di situ adalah serius dan memberi kesan buruk yang berpanjangan ke atas alam sekitar, hidupan marin dan kehidupan nelayan tempatan. 

“Masalah ini terbongkar pada awal bulan ini, namun hingga sekarang puncanya dan tindakan undang-undang yang diambil oleh pihak berkenaan ke atas mereka yang terlibat masih belum diketahui umum. 

“Keadaan yang dicetuskan oleh pihak tidak bertanggungjawab ini tidak harus dipandang remeh dan tindakan undang-undang yang tegas dan hukuman setimpal perlu dikenakan ke atas pihak terlibat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Menurutnya, tinjauan CAP di Pantai Jerejak mendapati nelayan-nelayan di situ kesal dan bimbang dengan kejadian tersebut kerana boleh mengancam hidupan laut dan mata pencarian mereka dengan lebih serius jika dibiarkan berlarutan. 

“Kerja-kerja pembersihan bukan saja perlu dilakukan di darat tetapi juga di dasar laut sekitar kawasan projek ternakan ikan dalam sangkar di sini. 

“CAP percaya jika kerja-kerja tersebut tidak dilakukan secara menyeluruh, bahan buangan ini akan hanyut dibawa arus serta mencemarkan kawasan lain termasuk akan tersangkut pada pukat nelayan yang menjalankan aktiviti tangkapan di perairan negeri ini,” katanya. 

Tambah Mohideen, sebelum ini CAP telah menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS); Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP); Jabatan Perikanan dan Jabatan Laut menyiasat dan mengambil tindakan ke atas kejadian tersebut. 

“CAP bimbang kerana ancaman pencemaran sisa buangan ini bukan saja berlaku di pulau berkenaan tetapi juga di kawasan laut berhampiran. 

“Sisa buangan ini juga jika dibiarkan akan mengancam tempat pembiakan ikan dan hidupan kerang yang menjadi sumber pendapatan golongan nelayan,” katanya. 

Tambahnya, memandangkan masalah itu melibatkan kehidupan dan kepentingan rakyat maka adalah perlu hasil siasatan serta tindakan yang diambil diumumkan dengan segera. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya