BAYAN LEPAS: “Kami sudah hilang kerja, awat (mengapa) nak malu terima bantuan Hari Raya Aidilfitri. Apa sahaja orang nak beri, ambil sahaja.”
Demikian luahan beberapa penerima bantuan barangan keperluan Hari Raya Aidilfitri anjuran syarikat produk minuman kesihatan, Jus Mag Extra Power, di sini semalam.
Mereka antara 50 penerima yang terjejas akibat Covid-19 termasuk ibu tunggal dan asnaf yang tinggal di perumahan flat Asoka dan Akasia di sini.
Sumbangan yang diberikan adalah barangan keperluan harian seperti sekampit beras, dua peket gula dan minyak masak untuk persiapan menyambut perayaan Aidilfitri nanti.
Seorang penerima bantuan yang juga ibu tunggal, Che Noraini Md Noor, 42, berkata, tiada lagi perasaan malu untuk menerima sumbangan atau bantuan Hari Raya Aidilfitri memandangkan dia antara individu yang hilang pekerjaan ekoran pandemik Covid-19.
Menurut bekas penyelia di sebuah syarikat perniagaan bebas di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang itu, dia hilang sumber pencarian utama dan hanya mengharapkan simpanan wang i-Sinar untuk menguruskan keluarga termasuk persekolahan dua anak berusia 14 tahun dan 17 tahun.
“Saya terpaksa buang perasaan malu mengambil sumbangan atau bantuan keperluan Hari Raya Aidilfitri ini kerana kami juga antara individu yang terkesan teruk.
“Sampai bila nak berbelanja dengan duit i-Sinar yang semakin hari semakin berkurangan. Pelbagai pekerja saya mohon tetapi tiada satu pun berjaya dengan alasan faktor usia dan pengalaman,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Sumbangan barangan keperluan Hari Raya itu disampaikan Pengerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Surplus Pulau Pinang, Sophian Mohd. Zin dan wakil syarikat produk itu, Mohd. Yusof Ishak.
Jelas Che Noraini, dia kini terpaksa bekerja sambilan sebagai penjual di gerai makanan Bazar Ramadan Bayan Lepas bagi menampung keperluan Hari Raya Aidilfitri mereka sekeluarga.
Sementara itu, seorang lagi bekas kakitangan perkhidmatan pelanggan sebuah syarikat penerbangan tempatan, Norzaidi Mohd. Anuar, 39, pula memberitahu, kehidupannya berubah sepenuhnya setelah ditamatkan kontrak sejak Mac tahun lalu.
“Siapa sangka dan minta untuk jadi sebegini. Saya tidak pernah patah semangat untuk mencari pekerjaan baharu biarpun agak sukar disebabkan faktor usia dan kesihatan selepas terlibat kemalangan jalan raya pada 2018 sehingga patah tulang paha, betis dan pergelangan tangan.
“Apapun saya bersyukur kerana masih ada yang bersimpati dan mahu membantu meringankan beban kami menjelang sambutan perayaan Aidilfitri,” ujarnya bapa kepada dua cahaya mata itu.
Seorang ejen produk kecantikan yang juga ibu tunggal, Norafza Othman, 47, pula berkata, hasil jualan produk kecantikan yang diusahakannya sejak beberapa tahun lalu turut terjejas sehingga 60 peratus.
“Jika dahulu sebut sahaja tentang bantuan atau sumbangan mesti yang layak adalah mereka yang benar-benar kurang berkemampuan. Tetapi kini, kami juga memerlukan bantuan barangan keperluan untuk meneruskan kelangsungan hidup.
“Tidak semua orang hari ini membeli produk kecantikan disebabkan berdepan dengan masalah kewangan,” ujarnya yang juga peniaga biskut raya. – UTUSAN