LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Perak menahan sebuah bot nelayan tempatan kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan pukat tunda di kedudukan lebih kurang 5.45 batu nautika barat laut Sungai Belukang di perairan Bagan Datuk, petang semalam.
Pengarah Maritim Perak, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, tangkapan itu dilakukan hasil daripada maklumat awam yang memaklumkan sebuah bot Kelas B1 menangkap ikan di zon larangan di perairan tersebut.
“Sebaik sahaja menerima maklumat kami terus mengatur gerak bot Maritim yang sedang melaksanakan Op Benteng dan Op Pintas ke lokasi aduan dan memintas bot tersebut pada pukul 6.44 petang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan dua kru termasuk tekong warga negara tempatan berusia lingkungan 46 hingga 54 tahun.
Kata Shahrizan, ketika ditahan, bot tersebut disyaki sedang melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan kurang daripada lapan batu nautika di perairan berkenaan.
“Bot, kru serta tekong ditahan manakala 30 kilogram ikan campur dan pukat tunda dirampas.
“Semua tangkapan dibawa ke Pusat Tahanan Vessel (PTV) Kampung Bharu l, Sitiawan, sekitar pukul 11.30 malam tadi untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Perak bagi tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN ONLINE