Bicara Ahmad Zahid tangguh awal - Utusan Malaysia

Bicara Ahmad Zahid tangguh awal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Perbicaraan kes rasuah membabitkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini ditangguhkan lebih awal berikutan status MySejahtera salah seorang peguam pasukan pembelaan, Aiman Abdul Rahman bertukar kepada kontak rapat dengan simptom.

Memberitahu Mahkamah Tinggi, peguam mewakili Ahmad Zahid, Hamidi Mohd. Noh berkata, pihaknya dimaklumkan status itu bertukar tengah hari ini iaitu daripada risiko rendah tanpa simptom kepada kontak kasual dengan simptom.

“Saya memaklumkan pertukaran status ini kerana tidak mahu memberi risiko kepada anak guam. Saya percaya dengan memaklumkan perkara ini dapat mengurangkan risiko kerana MySejahtera adalah petunjuk kepada mereka yang pernah ke tempat-tempat berisiko.

“Jika ini berlaku saya percaya, kita perlu mengurangkan kontak. Jadi, saya mohon kepada mahkamah menangguhkan untuk saya pastikan status tersebut kerana kita berada di dalam bangunan yang tertutup,” katanya kepada Hakim Datuk Mohd. Yazid Mustafa.

Hakim Mohd. Yazid kemudian memutuskan perbicaraan ditangguhkan dan bersambung pada Selasa ini seperti yang pernah dijadualkan pada Mac lalu.

Pada hari ini, pihak pendakwaan memanggil saksi ketiga iaitu bekas Timbalan Setiausaha Bahagian Hal Ehwal Imigresen, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Siti Jalilah Abd. Manap.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga merupakan Presiden UMNO mengaku tidak bersalah atas 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SGD13.56 juta sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri melanjutkan kontrak sebuah syarikat sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan Sistem VLN.

Ahmad Zahid juga didakwa mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan di Country Heights, Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Ahmad Zahid dituduh mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut mengaku tidak bersalah atas 33 pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan sebagai Menteri Dalam Negeri menerima suapan berjumlah SGD13.56 juta berhubung sistem VLN antara 2014 hingga 2017.

Bagi tujuh pertuduhan lain, Ahmad Zahid didakwa mendapat untuk dirinya suatu benda berharga iaitu wang tunai SGD1,150,000, RM3,000,000, EURO15,000 dan USD15,000 tanpa balasan daripada syarikat sama yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi beliau.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Country Heights, antara Jun 2015 dan Oktober 2017, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan Ahmad Zahid dijadualkan berlangsung selama 16 hari bermula hari ini 25 dan 27 Mei. Mahkamah turut menetapkan tarikh perbicaraan lanjut pada Jun ini iaitu 1 hingga 3, 14 hingga 18 dan 21 hingga 25. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN