HULU TERENGGANU: Seekor beruang matahari jantan maut selepas dirempuh sebuah kenderaan di Batu 23, Jalan Kuala Berang-Ajil, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, haiwan liar berkenaan mati di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan beberapa anggota badan.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Dr. Abdul Malek Mohd. Yusof berkata, kemalangan melibatkan seekor beruang matahari jantan dewasa yang dipercayai melintas jalan.
“Beruang berkenaan mati di bahu jalan setelah dilanggar kenderaan pengguna jalan raya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Pada 1 April lalu, seekor beruang matahari betina maut dilanggar kenderaan dinaiki empat sekeluarga di Kilometer 388.9, Lebuh Raya Pantai Timur (LPT2) berhampiran Ajil, Hulu Terengganu. – UTUSAN