SUNGAI PETANI: Seramai 10 lelaki dan tiga wanita dikompaun sebanyak RM4,000 setiap seorang selepas melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP) dengan berkumpul di sebuah rumah Kampung Jeniang, Gurun, di sini malam semalam.
Mereka yang berumur antara 27 hingga 45 tahun ditahan ketika sedang menjamu selera dan tiada penjarakan sosial di rumah berkenaan pada pukul 10.30 malam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, ketika ditahan, mereka memberi alasan ingin memasang bendera Palestin sebagai tanda solidariti terhadap kekejaman tentera Israel sebelum ini.
Bagaimanapun, katanya, siasatan lanjut oleh anggotanya pula tidak menemukan bendera Palestin.
“Kesemua individu terbabit tinggal sekitar Gurun dan mereka dipercayai mengunjungi rumah berkenaan untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Ketika pemeriksaan, semua individu itu sedang berbual dan menikmati makanan dihidang dengan tiada penjarakan sosial,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Adzli berkata, semua individu itu ditahan oleh pegawai dan anggota dari Balai Polis Gurun, di sini semasa melakukan Ops Covid-19 PKP 2021 di lokasi tersebut.
“Mereka kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda untuk siasatan lanjut.
“Selain itu, mereka juga dikompaun RM4,000 setiap seorang kerana melanggar Peraturan 9 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (LLDKTJ) 2021 (Aktiviti terlarang Nombor 1),” katanya. – UTUSAN ONLINE