TAMPIN: Seorang lelaki dikenakan kompaun sebanyak RM5,000 selepas dikesan cuba merentas negeri dari Dengkil, Selangor ke Gemencheh dekat sini tanpa mengemukakan sebarang surat di sekatan jalan raya (SJR) Batu 1 di sini, tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Anuwal Ab. Wahab berkata, lelaki berusia 49 tahun itu memandu sebuah kenderaan pacuan empat roda (4×4) jenis Hilux dan ketika melalui pemeriksaan di SJR berkenaan iaitu kira-kira pukul 12.30 tengah hari, lelaki berkenaan memberikan alasan mahu melawat kebun sawitnya di Gemencheh.
Menurutnya, lelaki berkenaan bagaimanapun gagal mengemukakan sebarang surat kebenaran polis atau dokumen berkaitan bagi tujuan merentas negeri dan didapati telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
“Kompaun berkenaan dikeluarkan di bawah Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Peraturan-peraturan Pencegahan kerana tidak mempunyai surat kebenaran rentas negeri daripada pihak PDRM,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Anuwal berkata, selain kompaun berkenaan, 18 buah kenderaan dari daerah Rembau diarah berpatah balik kerana cuba merentas daerah untuk ke pekan Tampin.
Menurutnya, buat masa ini pihaknya memberi peluang dan nasihat kepada penduduk dari daerah jiran untuk mematuhi SOP PKP yang telah ditetapkan iaitu tidak boleh merentas daerah tanpa surat kebenaran polis.
“Hasil pemeriksaan mendapati penduduk dari Kota terutamanya cuba merentas daerah ke pekan Tampin.
“Saya menasihatkan masyarakat terutama yang tinggal berjiran di daerah Rembau iaitu di Kota yang ingin berurusan di pekan Tampin hendaklah mendapatkan surat kebenaran polis di Rembau terlebih dahulu jika ingin merentas daerah walaupun jaraknya adalah dekat bagi mematuhi SOP yang ditetapkan.
“Kes semakin hari semakin meningkat. Kita harap semua patuh SOP, tidak ada keperluan untuk keluar, duduklah di rumah,” tambahnya. – UTUSAN