GEORGETOWN: Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) diharap dapat membenarkan peniaga-peniaga durian di negeri ini berniaga di kawasan-kawasan tertentu seperti di tepi jalan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ahli Parlimen Balik Pulau, Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, ini kerana menjual buah durian, manggis, cempedak dan rambutan merupakan perniagaan bermusim dan kebenaran untuk berniaga dapat mengelakkan kerugian yang besar kepada pemilik kebun.
Katanya, musim durian dan buah-buahan lain sedang bermula ketika ini di beberapa kawasan di daerah Barat Daya antaranya di Balik Pulau, Sungai Ara dan Teluk Bahang.
“Bagi pengusaha kebun durian, inilah masa mereka menjual hasil setelah berbulan-bulan menjaga pokok dengan baja dan memastikan pokok dalam keadaan sihat.
“Saya merayu MBPP supaya membenarkan peniaga durian berniaga di kawasan tertentu seperti di tepi-tepi jalan dengan SOP ketat yang ditetapkan,” katanya di sini hari ini.
Sebelum ini, MBPP menjemput peniaga durian dan pemilik ladang untuk menyertai perniagaan di dalam talian melalui platform Jom Beli Online (JBO@MBPP) untuk memudahkan mereka menjual durian kepada orang ramai.
Datuk Bandar MBPP, Ar. Yew Tung Seang berkata, para peniaga durian juga digalakkan menyewa gerai bagi menjual raja buah itu di pasar awam dan kompleks perniagaan yang disediakan MBPP.
Menurut Muhammad Bakhtiar, dalam SOP terbaharu Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai PKP yang akan berkuatkuasa dari 1 hingga 14 Jun ini, penjualan makanan dan minuman adalah termasuk dalam kategori yang dibenarkan.
“Oleh itu jualan hasil buah-buahan juga harus dibenarkan asalkan peniaga harus memastikan SOP diikuti termasuklah penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya berharap MBPP dapat mempertimbangkan saranan berkenaan demi menjaga kebajikan para peniaga dan pekebun durian yang rata-ratanya berada di dalam kawasan Parlimen Balik Pulau. – UTUSAN