Bekas pengurus MARDI didakwa pecah amanah - Utusan Malaysia

Bekas pengurus MARDI didakwa pecah amanah

MOHD. Saiful Nizam (kanan) didakwa pecah amanah sebanyak RM14,250 di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Bekas pengurus Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan pecah amanah bernilai RM14,250, dua tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Saiful Nizam, 40, yang sebelum ini berkhidmat di MARDI Kuala Terengganu merangkap pengurus dana agensi berkenaan membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan pecah amanah dengan tidak menyerahkan wang pembayaran sewa kiosk bagi bulan Januari hingga September 2019 di samping deposit berjumlah RM14,250 kepada Bahagian Kewangan MARDI Kuala Terengganu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Januari hingga September 2019.

Mohd. Saiful didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan serta denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Athikah Aziz manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 23 Jun ini untuk sebutan semula kes dan tertuduh dibenarkan diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin di samping melapor diri ke pejabat SPRM setiap bulan selain menyerahkan pasport antarabangsa. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya