PETALING JAYA: Tergamak ibu bapa kepada seorang bayi lelaki meninggalkan anak mereka di atas meja belakang sebuah rumah di Kampung Sungai Kayu Ara, di sini awal pagi tadi.
Bayi lelaki yang masih bertali pusat ditemukan dalam plastik hitam oleh tuan rumah yang juga seorang lelaki warga asing kira-kira pukul 4.50 pagi selepas terdengar tangisan kuat bayi berkenaan sebelum melaporkannya kepada polis.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, ketika ditemukan bayi malang itu yang masih bernyawa dan dihurung semut.
Kata beliau, bayi berkenaan diselamatkan dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan lanjut.
“Kita percaya ibu bayi berkenaan bukan dalam kalangan penduduk di kawasan perumahan di situ kerana semakan mendapati tiada wanita mengandung tinggal di kampung berkenaan.
“Bagaimanapun siasatan masih diteruskan dan kita minta orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian ini membantu siasatan polis,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh disalurkan dengan tampil di mana-mana balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Adam Firdauz Ahmad di talian 012-7565464 atau Bilik Gerakan Ibu pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662176.
“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” jelasnya. – UTUSAN