Bapa tiga anak didenda RM2,000 memiliki mercun

Bapa tiga anak didenda RM2,000 memiliki mercun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Padah memiliki pelbagai jenis mercun, seorang bapa tiga anak didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Atiqah Mohamed@Mohamad Saim mengenakan denda terhadap K. Sokalingam, 58, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikenakan.

Sekiranya denda itu gagal dibayar, tertuduh boleh dipenjara selama dua bulan.  Denda itu dijelaskan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dalam milikannya pelbagai jenis bahan letupan antaranya iaitu tiga kotak mercun Happy Boom Red Craker, dua kotak bunga api Happy Boom Ground Boom Flower, 130 butir mercun bola dan 22 butir mercun Happy Boom yang mana tanpa kebenaran dan tujuan mengikut undang-undang.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah unit Blok Flat Sri Perak, Bandar Baru Sentul di sini pukul 11 malam pada 13 Mei lalu.

Berikutan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut  Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (akta 207) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu peguam Ahmad Ikram Ab. Alim yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan kerana pengakuan salah tertuduh telah menjimatkan masa mahkamah.

“Tertuduh merupakan bapa tiga anak yang mempunyai masalah penyakit jantung. Tertuduh juga mempunyai lesen untuk menjual mercun kecuali mercun bola,” katanya.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Abdul Khaliq Nazeri memohon mahkamah mengenakan hukuman berbentuk pemenjaraan sebagai pengajaran agar tertuduh tidak melakukan kesalahan sama selain faktor kepentingan awam. 

Pada 14 Mei lalu, media melaporkan polis telah menyerbu sebuah premis di Pangsapuri Sri Perak, Bandar Baru Sentul di sini dan menangkap seorang lelaki berusia 58 tahun kerana didapati menjual mercun tanpa lesen yang sah.

Sebelum ini tular dalam media sosial apabila, tindakan polis menyuraikan kira-kira 200 individu yang berkumpul bertukar gempar apabila dibaling mercun oleh pihak tidak bertanggungjawab dalam kejadian di Pangsapuri Sri Perak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya