Apa perkembangan RUU Akta Gangguan Seksual?

Apa perkembangan RUU Akta Gangguan Seksual?

AKMAL NASRULLAH MD. NASIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun dituntut menjelaskan sejauh mana usaha penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Gangguan Seksual agar ia dapat dikuatkuasakan secepat mungkin.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Akmal Nasrullah Md. Nasir berkata, ini susulan pendedahan menggemparkan bekas atlet renang negara, Cindy Ong berkaitan isu gangguan seksual sewaktu sesi latihan ketika beliau masih remaja.

Katanya, pendedahan atlet bertaraf dunia yang telah memenangi pelbagai kejuaraan daripada Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) pastinya akan menarik perhatian peminat sukan antarabangsa sekali gus boleh mencalarkan imej Malaysia di pentas dunia.

“Atas sebab itu, ia menuntut suatu tindak balas yang proaktif dan tegas daripada kementerian berkaitan untuk menyiasat dakwaan Cindy Ong yang secara tidak langsung memberi isyarat masih terdapat banyak lagi kes sebegini yang disenyapkan. 

“Oleh itu, Datuk Seri Rina selaku menteri yang bertanggungjawab diminta untuk menjelaskan status usaha tersebut dan memberikan cadangan garis masa hingga RUU Akta Gangguan Seksual ini dapat direalisasikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selasa lalu, sebuah portal berita tempatan melaporkan pendedahan Cindy Ong dan seorang lagi bekas perenang yang mendakwa mengalami gangguan dan serangan seksual selama bertahun-tahun ketika bergelar perenang negara.

Susulan pendedahan itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dilaporkan mengarahkan pegawainya dan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menghubungi dan membantu bekas perenang negara itu yang dikatakan mengalami gangguan seksual ketika bergelar atlet negara.

Reezal Merican menegaskan pihaknya akan membantu membuat laporan polis berhubung perbuatan itu dan memberi jaminan MSN akan memberi kerjasama penuh kepada polis dalam siasatan mereka.

Sementara itu, Akmal Nasrullah yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru menjelaskan, usaha penggubalan RUU Akta Gangguan Seksual yang telah dimulakan oleh Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail itu sepatutnya dibentangkan pada Mac tahun lalu. 

“Mana-mana atlet yang pernah mengalami kejadian serupa diminta untuk tampil ke hadapan dan AMK Malaysia bersedia menawarkan pembelaan demi membersihkan industri sukan negara daripada gejala tidak sihat sebegini.

“Kementerian Belia dan Sukan sudah tentu akan menjadi tumpuan untuk menjelaskan perkara ini.

“Namun, kelompongan yang terdapat dalam perundangan negara juga perlu turut diberi perhatian serius yang mana hingga kini masih tiada akta khusus berkaitan gangguan seksual walaupun sudah lebih 20 tahun ia diperjuangkan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya