Anak luar nikah pasangan Malaysia-Filipina gagal dapat kerakyatan - Utusan Malaysia

Anak luar nikah pasangan Malaysia-Filipina gagal dapat kerakyatan

amang seksual
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seorang anak luar nikah berusia 11 tahun gagal segala usaha untuk mendapat kerakyatan Malaysia walaupun bapa kandungnya yang merupakan rakyat tempatan, kemudian berkahwin
secara sah dengan ibunya seorang warganegara Filipina, lima bulan selepas kelahirannya.

Perkara itu dimuktamadkan oleh panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan di sini hari ini yang mencapai keputusan majoriti tipis 4-3 ketika menolak rayuan akhir kanak-kanak itu dan bapanya.

Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Rohana Yusuf menolak rayuan itu bersama Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Zabariah Mohd. Yusof dan Datuk Seri Hasnah
Mohammed Hashim.

Sementara itu, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat bersama-sama Datuk P. Nallini dan Datuk Mary Lim Thiam Suan mencapai keputusan minoriti membenarkan rayuan pasangan itu.

Persoalan yang dikemukakan di hadapan mahkamah tertinggi negara antara lain adalah sama ada anak luar nikah (yang dilahirkan di luar negara) kepada bapa rakyat tempatan dan ibu rakyat Filipina, berhak mendapat kerakyatan berdasarkan Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan.

Kes ini melibatkan kepentingan awam yang mana persoalan undang-undang yang dikemukakan belum pernah dibangkitkan di mahkamah tertinggi negara.

Hakim Rohana dalam penghakiman majoriti berpendapat, Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa status kerakyatan anak luar nikah adalah berdasarkan kepada kerakyatan ibunya, ketika kanak-kanak itu dilahirkan.

Dalam hal ini, jelas bahawa kanak-kanak itu merupakan warganegara Filipina berdasarkan pasport yang dikeluarkan oleh negara itu ketika dia memasuki Malaysia.

Ujar Hakim Rohana, fungsi mahkamah adalah untuk mentafsir dan mengekalkan sebutan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan tidak kira sama ada keputusan yang dicapai itu tidak popular atau tidak
disukai.

“Mahkamah tiada urusan untuk mencari populariti ketika membuat keputusan yang popular, bukan seperti ahli politik,” ujarnya pada prosiding yang dijalankan secara dalam talian.

Sehubungan itu, penghakiman majoriti mendapati rayuan mereka tiada merit selepas bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan yang memutuskan kanak-kanak itu gagal
memenuhi kriteria yang diperlukan untuk memperolehi kerakyatan.

Bagaimanapun, Hakim Tengku Maimun berpendapat, status kerakyatan kanak-kanak itu boleh ditentukan mengikut kerakyatan ibunya jika identiti bapa kanak-kanak tersebut tidak diketahui.

Pada hemat Ketua Hakim Negara, penafian terhadap kewarganegaraan merupakan satu diskriminasi kerana ia bercanggah dengan kebebasan asasi seperti yang termaktub dalam Perlembagaan
Persekutuan.

Dalam pada itu, Hakim Mary Lim dalam penghakiman minoritinya turut menyatakan, walaupun bapanya belum berkahwin dengan ibunya ketika kanak-kanak itu dilahirkan di Filipina, perkara itu
tidak sepatutnya menafikan haknya untuk mendapat kerakyatan melalui penguatkuasaan undang-undang di bawah Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan.

Hakim Mary Lim berpendapat, kanak-kanak itu berhak diberi layanan dan perlindungan yang sama kerana bapanya seorang warganegara dan mempunyai pertalian sah di sisi undang-undang
dengan ibunya.

Hakim Nallini dalam penghakiman bagi menyokong keputusan minoriti pula menyatakan, kanak-kanak itu layak mendapat kerakyatan sebaik sahaja dilahirkan.

Kanak-kanak itu yang identitinya dirahsiakan oleh mahkamah, dilahirkan pada 2010 ketika ibu dan bapa kandungnya masih belum berkahwin. Dia memegang pasport Filipina.

Pasangan itu kemudian berkahwin pada 2011 iaitu lima bulan selepas kelahirannya. Kanak-kanak itu seterusnya dibawa oleh bapanya menetap di sini namun gagal mendaftar kerakyatannya selepas permohonan ditolak pada September 2012.

Sehubungan itu, kanak-kanak tersebut dan bapanya memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi pada 2016 bagi mendapat perisytiharan bahawa dia seorang warganegara.

Mereka menamakan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia selaku defendan-defendan dalam saman itu.

Bagaimanapun, saman pemula itu ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 23 Ogos 2017 atas alasan kanak-kanak luar nikah tidak layak mendapat status warganegara kerana ibunya bukan rakyat negara ini
ketika kanak-kanak itu dilahirkan.

Rayuannya turut ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 14 Februari 2019.

Peguam Datuk Dr. Cyrus V. Das mewakili pasangan tersebut manakala Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan mewakili pihak kerajaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN