ALOR SETAR: Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kuala Kedah menggesa individu yang menghina institusi Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu dikenakan tindakan tegas sebagai pengajaran kepada rakyat di negara ini supaya tidak terus melakukan provokasi terhadap institusi tersebut.
Yang Dipertuanya, Amirul Syahir Musa berkata, individu yang melakukan kesalahan itu sepatutnya diambil tindakan di bawah peruntukan Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Beliau berkata, pihaknya beranggapan amat tidak wajar sekiranya rakyat di negara ini menghina Agong, malah tindakan biadap itu menimbulkan kemarahan rakyat.
“GPMS Kuala Kedah beranggapan perbuatan itu sangat biadap dan melampaui batas. GPMS Kuala Kedah berharap agar rakyat yang derhaka dikenakan tindakan lebih tegas berbanding sebelum ini.
“Sebagai rakyat Malaysia, kita sepatutnya menghormati dan menunjukkan taat setia terhadap Yang di-Pertuan Agong yang merupakan ketua negara dan lambang sebuah negara berasaskan Raja Berperlembagaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini..
Tambah beliau, sekiranya individu tersebut tidak diambil tindakan yang tegas ia akan membuka ruang kepada lebih ramai lagi rakyat melakukan tindakan biadap yang sama selepas ini.
Sebelum ini, satu video yang memaparkan pemilik akaun Iswardy Morni mengeluarkan kenyataan yang dikatakan menghina Yang di-Pertuan Agong tular di media sosial.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin memberitahu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan Iswardy mengikut peruntukan Seksyen 8 (2) dan Seksyen 11 Akta Hasutan 1948. – UTUSAN