KUALA LUMPUR: Pelumba negara, Adam Norrodin menampilkan tunggangan cemerlang sebelum menamatkan perlumbaan pusingan kedua Kejuaraan Motosikal CEV Moto2 di Litar Ricardo Tormo, Sepanyol di tempat ketiga, sebentar tadi.
Itu adalah podium kedua berturut-turut buat pelumba pasukan Liqui Moly Intact SIC Racing itu selepas turut menamatkan perlumbaan di Litar Estoril, Portugal bulan lalu di kedudukan ketiga.
Dalam perlumbaan di Ricardo Tormo, Adam memastikan kedudukan podium selepas menamatkan saingan dengan catatan masa 14 minit 43.890 saat.
Sementara itu, pelumba pasukan Boscoscuro Talent Team-Ciatti, Fermin Aldeguer muncul juara, manakala rakan sepasukannya, Alonso Lopez di tempat kedua.
Terdahulu, Adam antara pelumba negara yang pernah beraksi dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) menerusi kategori Moto2 dan Moto3.