963 kes demam denggi sejak 1 Januari - R. Vidyananthan

963 kes demam denggi sejak 1 Januari

R. VIDYANANTHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sebanyak 963 kes demam denggi direkodkan di negeri ini dengan satu kematian dicatatkan sejak awal tahun sehingga Sabtu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, daripada jumlah itu, 280 kes dilaporkan dari lokaliti wabak dan 683 kes melibatkan lokaliti bukan wabak. 

Beliau berkata, jumlah itu mencatatkan penurunan berbanding tahun lalu iaitu 3,582 kes dengan 15 kematian bagi tempoh yang sama.

“Daerah Johor Bahru merekodkan kumulatif kes tertinggi bagi tahun ini dengan sebanyak 789 kes direkodkan. Pada minggu lalu sahaja, sebanyak 30 kes dilaporkan di Johor Bahru dengan tiga lokaliti wabak baharu dikesan, selain lima lokaliti masih aktif di daerah terbabit.

“Aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan telah pun mengeluarkan sebanyak 1,594 kompaun dengan nilai kompaun sebanyak RM799,500 ditawarkan. Daripada jumlah tersebut 79.6 peratus telah membayar kompaun,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Menurut Vidyananthan, selain Johor Bahru, sebanyak 35 kes denggi dicatatkan di Kota Tinggi diikuti Tangkak (32), Batu Pahat (29), Kulai (24), Segamat (14) dan Pontian (13), Mersing (10), Muar (9) dan Kluang (8).

Katanya, jumlah terkumpul lokaliti wabak di negeri ini pada tahun ini sehingga Sabtu lalu adalah 102 berbanding 497 dalam tempoh yang sama pada tahun lalu iaitu penurunan sebanyak 79.5 peratus. 

Jelasnya, penemuan tempat pembiakan serta tempat berisiko pembiakan di dalam rumah menunjukkan masyarakat masih lagi belum peka kepada keperluan pembersihan dan pemusnahan tempat berisiko untuk pembiakan nyamuk Aedes. 

“Aktiviti pemusnahan tempat pembiakan (PTP) terus dijalankan oleh anggota kesihatan di dalam dan luar rumah. Masyarakat perlu melakukan aktiviti mencari dan musnah selama 10 minit di kediaman dan tempat kerja. 

“Aktiviti sebaran maklumat pencegahan denggi telah dipergiat melalui media sosial dan hebahan radio secara harian. Jabatan Kesihatan Negeri Johor telah memuat naik infografik situasi denggi negeri dan peta lokaliti wabak denggi mengikut mukim secara harian,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya