PUTRAJAYA: Sejumlah lapan lagi lokaliti di tiga negeri berbeza bakal dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara serentak selama 14 hari bermula Isnin hingga 13 Jun ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antaranya melibatkan tiga kawasan perumahan dalam Mukim Juasseh di Daerah Kuala Pilah, Negeri Sembilan meliputi Taman Desa Permai, Rumah Rakyat Juasseh dan Taman Sri Juasseh ekoran 51 kes dilaporkan setakat ini oleh Kementerian Kesihatan.
Turut dikenakan PKPD bagi tempoh yang sama jelas beliau, ialah tiga lagi rumah panjang di Ulu Sebakong, Bahagian Mukah, Sarawak ekoran 35 kes positif direkodkan kementerian itu.
Lokaliti terbabit kata Ismail Sabri, ialah Rumah Panjang Rimong anak Kilat, Rumah Panjang Asin anak Aji dan Rumah Panjang Bija anak Unggang bagi mengekang jangkitan kes di situ.
Sementara itu di Sabah, dua perkampungan juga dilaksanakan PKPD iaitu Felda Sahabat 40 (Kampung Kembara Sakti), Mukim Tungku, Lahad Datu dan Kampung Padawan di Papar.
“Satu lokaliti di negeri itu pula menyaksikan lanjutan tempoh PKPD selama tempoh 14 hari lagi iaitu Kampung Sungai Langgas, Kunak yang sepatutnya berakhir pada esok,” jelas beliau dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu kata Ismail Sabri, dua lokaliti di Pahang pula menyaksikan penamatan PKPD secara serentak pada hari esok seperti dijadualkan membabitkan kawasan Kampung Paya Teh, Daerah Jerantut dan Seri Kemunting, Daerah Kuantan susulan penurunan kes baharu serta semua kes sudah menerima rawatan. – UTUSAN