70,000 anggota pelbagai agensi dikerah, 600 SJR di seluruh negara

Lockdown: 70,000 anggota pelbagai agensi dikerah, 600 SJR di seluruh negara

HAMZAH Zainuddin melawat Bilik Gerakan KDN selepas Mesyuarat Khas Pelaksanaan 'Total Lockdown' Fasa Pertama di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya. - FOTO/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Lebih 70,000 anggota daripada pelbagai agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri bakal dikerah untuk pelaksanaan perintah berkurung penuh bermula 1 Jun ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ketika ini terdapat 37,000 anggota polis bertugas yang melibatkan hampir 600 sekatan jalan raya (SJR) di seluruh negara.

“Bagaimanapun jika jumlah ini masih tidak cukup, kita sedia mengerahkan seramai 55,000 anggota tambahan dan 15,000 lagi daripada pelbagai agensi penguatkuasaan lain,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Pelaksanaan Total Lockdown Fasa Pertama dan meninjau persiapan bilik gerakan di sini.

Turut hadir Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz; Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani serta semua ketua agensi yang terlibat.       

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi kenyataan mengumumkan pelaksanaan semula perintah berkurung sepenuhnya di seluruh negara bermula Selasa ini.

Ia susulan peningkatan kes harian baharu Covid-19 yang mencecah 8,290 kes semalam iaitu angka tertinggi dalam sejarah sejak wabak itu dikesan di Malaysia pada 25 Januari tahun lalu.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, dengan penambahan anggota di lapangan, lebih 800 SJR akan dilaksanakan bagi mengekang cubaan pergerakan rentas negeri terutama di laluan tikus.

“Pemeriksaan secara mengejut juga akan ditambah dengan melibatkan kerjasama pelbagai agensi kerajaan bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP),” tegasnya.

Ketika ini ujarnya, terdapat 13,795 anggota pasukan pematuhan dan jumlah itu boleh lagi dipertingkatkan kepada hampir 20,000 petugas sepanjang 14 hari tempoh perintah tersebut.

Ini katanya juga meliputi pihak penjara, imigresen, Agensi Penguatkuasaan Maritim, Jabatan Sukarelawan, Agensi Kawalan Sempadan, Agensi Antidadah Kebangsaan dan sebagainya.

Beliau memaklumkan, cuti semua anggota penguatkuasaan di bawah kementerian ini turut ditangguhkan kecuali kecemasan bagi memastikan jumlah petugas cukup sepanjang masa.

Hamzah turut memberi peringatan bahawa tindakan tegas akan dikenakan kepada pesalah ingkar SOP termasuk didakwa di mahkamah jika enggan bayar kompaun dan kes berulang.

Justeru, beliau meminta masyarakat memberi kerjasama bagi memastikan keberkesanan perintah tersebut dan mengekang penularan wabak Covid-19 yang semakin kritikal ketika ini.

Jabatan Pendaftaran Negara katanya, juga akan mempertingkatkan operasi penguatkuasaan secara bersepadu dengan polis dan imigresen di kawasan penempatan pendatang asing.

“Kali ini, pihak penjara turut bersiap sedia menampung jumlah pesalah SOP dan kita sudah mengenal pasti penjara satelit selain depoh tahanan satelit untuk warga asing,” kata beliau.

Bilik gerakan setiap agensi di bawah kementerian itu jelasnya, sudah pun beroperasi 24 jam bagi membantu orang ramai agar mudah menyalurkan maklumat dan membuat pertanyaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya