KUBANG PASU: Sebanyak 7,000 bakul makanan disediakan kerajaan negeri untujk diedarkan kepada penduduk di sembilan lokaliti di Taman Mahsuri dan Kampung Lubuk Kawah, di sini serta 28 mukim di daerah Kota Setar yang terlibat dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kebajikan negeri, Halimaton Shaadiah Saad berkata, pemberian bantuan bakul makanan di daerah ini dilaksanakan sejak tiga hari lalu melibatkan penduduk yang terputus bekalan makanan dan membuat aduan kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB).
“Sementara bakul makanan kepada penduduk di 28 mukim di Kota Setar telah sampai hari ini dan diagihkan secepat mungkin kepada mereka yang memerlukannya.
“Pemberian ini dilaksanakan secara bersasar dengan diuruskan sepenuhnya oleh PKOB di kawasan masing-masing. Kalangan penduduk terlibat yang terputus bekalan makanan boleh menghubungi PKOB dan butiran diri mereka diambil untuk penyerahan bantuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau operasi penyampaian sumbangan bakul makanan kepada penduduk di Kampung Lubuk Kawah dekat sini, hari ini.
Pemberian bantuan secara berpusat itu turut mendapat sokongan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Dhuafa Sejahtera yang menyumbangkan lebih 400 kilogram ikan kembung untuk diagih-agihkan kepada penduduk setempat.
Mengulas mengenai penduduk yang memakai gelang merah jambu, Halimaton berkata, mereka sama sekali tidak dibenarkan keluar mendapatkan bantuan bakul makanan tersebut bagi mengelakkan kontak dengan orang lain.
“Bantuan bagi golongan ini diserahkan oleh petugas barisan hadapan secara terus ke depan pintu rumah mereka,” katanya.
Sementara itu Pegawai Daerah Kubang Pasu, Muhamad Arof Darus memaklumkan, terdapat lebih 100 aduan diterima PKOB daerah ini sejak PKPD dilaksanakan di Bandar Darulaman dan Lubuk Kawah, Jitra pada 18 Mei lalu.
“Kebanyakannya melibatkan bantuan makanan, namun ada juga yang merungut mengenai penghantaran barangan ke rumah yang tidak kita benarkan.
“Sekarang ini ramai yang membeli secara atas talian, namun kita tidak dapat benarkan penghantar barangan itu masuk atas faktor keselamatan,” katanya. – UTUSAN ONLINE