PETALING JAYA: Seramai 61 penumpang yang terlibat dalam insiden pertembungan tren Transit Aliran Ringan (LRT) baru-baru ini telah dibenarkan keluar selepas mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Menurut Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Datin Norlia Noah dalam satu kenyataan hari ini berkata, daripada 67 orang yang mendapatkan rawatan di HKL, seramai 61 penumpang telah dibenarkan keluar selepas mendapatkan rawatan.
“Manakala lima daripada penumpang tersebut masih berada di hospital dan tiga individu ditempatkan di wad biasa.
“Mereka dijangka akan dibenarkan pulang dalam tempoh dua ke tujuh hari lagi,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Tambah kenyataan, pihak Prasarana menzahirkan rasa dukacita atas kejadian yang menimpa para penumpang.
“Kami memantau perkembangan mereka yang masih berada di HKL secara berterusan dan mendoakan agar mereka diberikan kesembuhan dan dikurniakan keafiatan.
“Fokus utama Prasarana pada waktu ini adalah untuk memberikan sokongan dan bantuan yang sewajarnya kepada para penumpang terbabit serta keluarga mereka,” katanya.
Di dalam kejadian yang berlaku pada jam 8.33 malam, 24 Mei 2021, sebuah tren yang tidak membawa penumpang telah bertembung dengan sebuah lagi tren yang membawa 213 orang penumpang.
Seramai 47 orang penumpang dikejarkan ke HKL bagi mendapatkan rawatan susulan setelah dinilaikan oleh pasukan penyelamat dan perubatan kecemasan manakala 20 orang lagi menyusul lewat malam, menjadikan jumlah mereka yang mendapatkan rawatan adalah seramai 67 orang. – UTUSAN