6 individu termasuk pasangan kekasih seludup dadah dalam bot nelayan

6 individu termasuk pasangan kekasih seludup dadah dalam bot nelayan

SURINA Saad (dua dari kanan) menunjukkan dadah jenis ganja yang berjaya dirampas dalam operasi pada 1 Syawal lalu dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis di Kangar, Perlis hari ini. - FOTO/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Polis negeri berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran dadah yang aktif melakukan aktiviti penyeludupan barangan terlarang itu sejak awal tahun ini apabila merampas ganja seberat 190.9 kilogram dengan nilai RM477,250 di dalam sebuah bot fiber nelayan di Kuala Perlis, pada pagi Aidilfitri lalu.

Rentetan itu, polis turut menahan enam individu termasuk pasangan kekasih di sekitar Kuala Perlis, Simpang Empat, Arau dan Langkawi, Kedah pada Sabtu dan Ahad lalu.

Penemuan bot di sebuah jeti haram di Kuala Perlis pada awal pagi Khamis lalu itu telah membawa kepada penangkapan lelaki berusia 40 tahun yang merupakan dalang sindiket bersama teman wanitanya berusia 20 tahun.

Ketua Polis negeri, Datuk Surina Saad berkata, dadah berkenaan dipercayai diseludup masuk dari negara jiran dengan menggunakan bot nelayan tersebut dan dipercayai untuk pasaran di sekitar Pulau Pinang.

Katanya, kesemua suspek yang terdiri daripada nelayan dan juga penganggur berumur antara 20 hingga 40 tahun itu dipercayai aktif menjalankan kegiatan haram tersebut sejak awal tahun ini.

“Hasil siasatan mendapati, sindiket itu sudah tiga kali melakukan aktiviti penyeludupan ganja dari Thailand sejak awal tahun. Tiga ahli sindiket termasuk nelayan itu akan pergi ke negara jiran dengan bot kosong dan membawa pulang dadah ke sini.

“Setibanya di jeti ikan Kuala Perlis, mereka akan memunggah dadah tersebut ke dalam kenderaan yang sudah kami kenal pasti untuk dibawa ke Pulau Pinang.

“Dadah yang berjaya dirampas itu boleh digunakan oleh kira-kira 500,000 penagih jika terlepas ke pasaran,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis di sini hari ini.

Tambah Surina, ujian saringan air kencing mendapati lima suspek termasuk wanita itu positif methamphetamine selain mereka turut mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Menurutnya, kesemua mereka direman tiga hari iaitu tiga suspek direman bermula 16 Mei hingga hari ini manakala tiga lagi pada 17 Mei hingga esok.

“Kami percaya masih ada lagi saki baki ahli sindiket dan polis sedang giat mengesan mereka. Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.

Dalam pada itu, Surina memberitahu, polis negeri berjaya merampas dadah bernilai RM2.3 juta dari awal tahun sehingga Mei. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya