PUTRAJAYA: Selain terus mencipta rekod baharu kes positif Covid-19 yang tertinggi dengan menghampiri 8,000 kes iaitu 7,857 kes, Malaysia turut mencatatkan sebanyak 59 kematian termasuk 46 warga emas.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor yang merekodkan kes positif tertinggi iaitu 2,675 kes turut mencatatkan 19 kematian diikuti sembilan kes di Sarawak, tujuh kes di Johor, enam kes di Kuala Lumpur, lima kes di Kelantan, empat kes di Negeri Sembilan, tiga kes di Pulau Pinang, dua kes di Kedah, serta masing-masing satu kes di Sabah, Melaka, Perak, dan Terengganu.
“Seramai 33 lelaki dan 26 wanita berusia antara 33 hingga 99 tahun dengan lapan tiada penyakit serta tiga meninggal dunia di kediaman masing-masing atau ‘Bring in Dead’ (BID). Antara penyakit yang dikesan iaitu kencing manis, darah tinggi, jantung, gout, hypothyroidism, dislipidemia, strok, talasemia, buah pinggang kronik, obesiti, hati kronik, paru-paru kronik, kanser usus dan asma,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Malaysia juga merekodkan sebanyak 4,598 kes sembuh manakala kes aktif menunjukkan peningkatan iaitu 69,408 kes berbanding semalam, 66,208 kes serta 771 kes Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 92 kes memerlukan bantuan pernafasan.
Katanya, selain Selangor yang terus merekodkan kes tertinggi terdapat empat negeri mencatatkan kes melebihi 500 kes iaitu Sarawak, 772 kes; Kelantan, 754 kes; Kuala Lumpur, 561 kes dan Johor, 549 kes.
“Lapan negeri merekodkan kes melebihi 200 kes iaitu Kedah, 441 kes; Pulau Pinang, 365 kes; Negeri Sembilan, 353 kes; Terengganu, 282 kes; Pahang, 238 kes; Melaka, 234 kes; Perak, 228 kes; Sabah, 217 kes. Bagi Labuan pula, ia merekodkan peningkatan kes mendadak dari hanya kes dua angka dan kini mencatatkan 170 kes manakala Putrajaya, 12 kes dan Perlis, enam kes,” katanya.
Mengulas mengenai 20 kluster baharu, beliau berkata, ia melibatkan lapan komuniti, tujuh tempat kerja, tiga keagamaan, satu pusat tahanan dan satu pendidikan swasta.
Lapan komuniti itu katanya, Kluster Jalan Pinang 39 di Johor Bahru, Johor, 16 kes; Kluster Jalan Wawasan Tanjung melibatkan Kota Tinggi dan Johor Bahru, Johor, 16 kes; Kluster Serom Lima di Tangkak, Johor, 19 kes; Kluster Jalan Rusa Waha melibatkan Kota Tinggi dan Johor Bahru, Johor, 23 kes; Kluster Sri Sentosa di Bachok, Kelantan, 24 kes; Kluster Telok Kemunting di Bachok, Kelantan, 19 kes; Kluster Kampung Banggol Petaling di Pasir Mas, Kelantan, 21 kes dan Kluster Desa Ranggu di Tawau, Sabah, 18 kes.
“Bagi tujuh kluster tempat kerja iaitu Kluster Beg Berkunci di Hulu Selangor, Selangor, 12 kes; Kluster Persiaran Kuala 2 melibatkan Petaling, Klang, Gombak, dan Kuala Langat, Selangor, 32 kes; Kluster Selumit melibatkan Sibu dan Tanjung Manis, Sarawak, 19 kes; Kluster Sri Mahang melibatkan Kota Bharu dan Pasir Puteh, Kelantan, 24 kes; Kluster Jalan Tahana Industri di Johor Bahru, Johor, enam kes; Kluster Taman Shamelin di Cheras, Kuala Lumpur, 31 kes dan Kluster Batu Sepuluh Jalan Gambang di Kuantan, Pahang, tujuh kes
“Kluster keagamaan pula merekodkan tiga kluster iaitu Kluster Tebuk Binjai di Sabak Bernam, Selangor, 14 kes; Kluster Jalan Syawal di Jerantut, Pahang, 10 kes dan Kluster Jalan Cenderawasih melibatkan Kinta dan Kuala Kangsar, Perak, 80 kes,” katanya.
Tambahnya, Kluster DTI Tanah Merah pula adalah kluster pusat tahanan di Tanah Merah, Kelantan, 105 kes dan kluster pendidikan swasta, Kluster Jalan Kolej Yayasan di Alor Gajah, Melaka, 16 kes. – UTUSAN