19,090 mahu rentas negeri dan daerah, 465 ditolak

19,090 mahu rentas negeri dan daerah, 465 ditolak

AYOB Khan Mydin Pitchay (kanan) meneliti dokumen perjalanan seorang pemandu kenderaan ketika meninjau SJR di Seelong, Johor Bahru. - FOTO/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sejumlah 465 daripada keseluruhan 19,090 permohonan rentas negeri dan daerah yang dibuat dengan menggunakan pelbagai alasan ditolak polis negeri ini sejak 25 April hingga semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, antara alasan merentas negeri yang diberikan namun terpaksa ditolak termasuklah mahu pulang beraya dan rindukan keluarga.

“Daripada keseluruhan 19,090 permohonan yang dibuat untuk melakukan pergerakan rentas negeri dan daerah, 465 daripadanya terpaksa ditolak.

“Antara faktor utama ia ditolak adalah alasan yang diberikan tidak munasabah termasuk mahu pulang berhari raya dan rindukan keluarga sedangkan mereka tahu kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Mulai esok, tiada lagi nasihat akan diberi dan sesiapa ditahan kerana merentas negeri dan daerah tanpa kebenaran, mereka akan terus dikompaun. Jadi jangan marah polis dan kata kami tidak bertimbang rasa kerana nasihat sudah diberi,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau sekatan jalan raya (SJR) Seelong, di sini, hari ini.

Terdahulu, Ayob Khan turut meninjau lima pusat beli belah dan pasar awam sekitar bandar raya ini bagi memantau pelaksanaan prosedur standard operasi (SOP) di lokasi berkenaan. 

Dalam masa sama beliau meluahkan kekecewaan berikutan kegagalan orang ramai mematuhi SOP terutamanya di pusat beli belah dan pasar awam yang ditinjau beliau.

“Saya mengarahkan kompaun dikeluarkan kepada sebuah pusat beli belah di Tampoi dan sebuah pasar awam di Pandan kerana gagal mematuhi SOP ditetapkan kerajaan.

“Ada lokasi yang ditinjau tiada langsung penjarakan sosial. Pengunjung dilihat membawa anak-anak termasuk bayi berusia setahun hingga dua tahun sekali gus mendedahkan mereka pada risiko penularan wabak,” ujarnya.

Sementara itu, Ayob Khan memaklumkan seramai 1,212 pegawai dan anggota polis Johor telah dikerahkan untuk bertugas pada perayaan Aidilfitri tahun ini.

“Seramai 840 daripada mereka ditugaskan menjaga SJR, 269 pula ditugaskan untuk pasukan pemantauan manakala 171 yang lain melibatkan pasukan peninjau kenderaan pelbagai guna (MPV),” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya