PETALING JAYA: Polis menahan 19 individu termasuk lelaki bergelar Datuk Seri selepas dipercayai terlibat dengan sindiket judi dalam talian dan mesin slot menerusi serbuan berasingan di sekitar ibu negara bermula 17 hingga 20 Mei lalu.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM579,001, tiga jam tangan berjenama, tiga jongkong emas dan loket serta tiga kenderaan mewah dianggarkan bernilai RM2.1 juta.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, kesemua barang rampasan itu ditemukan di rumah Datuk Seri berusia 55 tahun itu di kediamannya di Bukit Segar, Cheras di sini pada 20 Mei lalu.
Katanya, selain itu, 10 individu tempatan termasuk seorang wanita, lima lelaki warga Myanmar dan tiga lelaki Bangladesh berusia antara 17 hingga 71 tahun turut ditahan dalam serbuan itu.
“Siasatan awal mendapati sindiket itu menarik pelanggan dengan mengubah suai mesin slot agar paparan pada mesin berkenaan boleh dipaparkan melalui skrin projektor, dipercayai bagi menambah keseronokan pemain judi selain menarik lebih ramai pelanggan
“Dalam serbuan itu, pelbagai barangan termasuk 16 alat kawalan perjudian, empat set komputer, dua projektor, satu modem, dua kotak perisian perjudian, dua kotak pengisian kredit, dua cip kredit perjudian serta wang tunai berjumlah RM10,123 turut disita di sebuah premis di Jalan Pudu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi di sini, hari ini.
Yang hadir sama Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yong Lei Choo; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusoff dan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah.
Dalam pada itu, Azmi berkata, sindiket berkenaan juga menjalankan aktiviti perjudian dalam talian selain permainan judi mesin slot.
Ujar beliau, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan aktif melakukan kegiatan tersebut sejak Januari lalu dengan mengaut keuntungan antara RM10,000 hingga RM30,000 sehari.
“Semua suspek masih dalam tahanan reman mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001, Seksyen 4 (1) (c) dan Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, IPD Dang Wangi di talian 03-2600 2222 atau mana-mana balai polis berdekatan,” ujar beliau.- UTUSAN ONLINE