12 warga Myanmar ditahan guna bot nelayan tempatan 

12 warga Myanmar ditahan guna bot nelayan tempatan 

SEBAHAGIAN daripada 12 nelayan warga Myanmar yang ditahan Maritim Malaysia pada kedudukan 19 batu nautika Barat Daya Pulau Kendi, Pulau Pinang selepas didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan tiga bot nelayan tempatan yang dinaiki 12 nelayan warga Myanmar pada kedudukan 19 batu nautika Barat Daya Pulau Kendi, di sini semalam. 

Mereka yang terdiri daripada kru dan tekong berusia antara 20 hingga 48 tahun itu diberkas semasa leka melakukan aktiviti menunda ikan di kawasan perairan tersebut kira-kira pukul 10 pagi. 

Ketiga-tiga buah bot berkenaan dikesan Kapal Maritim (KM) Burau menerusi rondaan bersepadu Op Benteng Laut dan Op Pertiwi. 

Pengarah Maritim Negeri, Kapten Maritim Abdul Razak Mohamed berkata, pemeriksaan mendapati setiap bot masing-masing dikendalikan empat kru termasuk tekong warga asing. 

“Kesemua 12 kru warga Myanmar itu tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah serta gagal menunjukkan permit kerja daripada Ketua Pengarah Perikanan. 

“Mereka berserta bot yang dinaiki kemudiannya dibawa ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Batu Maung untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia negeri untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Beliau memberitahu, kes tersebut akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 serta Akta Imigresen 1959/63. 

Jelasnya, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dalam menguatkuasakan undang-undang dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya. 

“Pengusaha atau pemilik bot dinasihatkan mematuhi undang-undang demi memastikan kesejahteraan perairan negara,” ujarnya. 

Tambah beliau, orang ramai dan komuniti maritim juga disarankan menyalurkan laporan aktiviti jenayah di laut menerusi panggilan terus ke Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau MERS 999. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya