BERUAS: Kerajaan negeri akan berusaha memastikan 104 rumah yang rosak termasuk 20 rumah rosak teruk dalam kejadian ribut di sini kelmarin, dapat diperbaiki sebelum sambutan Aidilfitri minggu depan.
Dalam kejadian ribut ketika umat Islam sedang berbuka puasa kelmarin, sebanyak 20 rumah masing-masing tujuh rumah di mukim Pengkalan Bharu, enam rumah di mukim Pangkor, lima rumah di mukim Beruas dan dua rumah di mukim Lekir rosak teruk termasuk ada yang keseluruhan bumbung rumah diterbangkan angin dan ditimpa pokok.
Sehubungan itu, Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad mengarahkan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Manjung segera melantik kontraktor bagi melakukan kerja-kerja membaik pulih rumah tersebut.
“Sebahagian daripada mangsa ribut adalah mereka yang akan menyambut raya, jadi sudah tentu mereka mahu beraya di rumah sendiri (yang sudah dibaiki),” katanya pada sidang akhbar selepas melawat rumah penduduk mangsa ribut di sini hari ini.
Saarani menjelaskan, kerajaan negeri memperuntukkan RM112,000 untuk kerja-kerja pemulihan rumah terjejas tetapi percaya jumlah itu mungkin tidak mencukupi dan ia akan ditambah dari masa ke semasa.
Menurutnya, PDT Manjung juga menyediakan wang ihsan kepada setiap mangsa terlibat dan mana-mana rumah yang mengalami kerosakan kecil seperti sekeping atau dua keping zink tertanggal, boleh menggunakan wang itu untuk menggantikannya.
Pada masa sama, katanya, golongan nelayan yang rumah mereka rosak turut layak menerima bantuan bencana alam daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
Beliau bagaimanapun bersyukur tiada kematian atau kecederaan dialami penduduk dalam kejadian ribut yang bermula kira-kira pukul 7.30 malam itu.
“Kita percaya mungkin bilangan rumah yang terjejas lebih banyak tetapi ramai belum atau tidak mahu membuat laporan polis mungkin hanya mengalami kerosakan kecil.
“Kerajaan negeri akan memantau kerja-kerja pembaikan rumah yang terjejas ini melalui Yayasan Bina Upaya yang akan berhubung terus dengan PDT Manjung,” katanya. – UTUSAN