JOHOR BAHRU: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Kementerian Kesihatan memeriksa seramai 1,000 penuntut yang berada di kampus universiti berkenaan dalam tempoh dua hari iaitu pada 20 dan 21 Mei lalu.
UTM dalam satu kenyataan memberitahu, ujian saringan secara besar-besaran itu bertujuan mengesan gejala awal Covid-19 dalam kalangan warga kampus yang sedang menjalani kuarantin ketika ini.
Menurut kenyataan itu, keputusan ujian dijangka diperoleh dalam tempoh dua atau tiga hari.
“Sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di UTM, operasi di klinik universiti ditutup.
“Penutupan itu bagi membolehkan keutamaan diberi kepada perkhidmatan klinik bergerak yang meliputi semua kolej kediaman di dalam kawasan kampus.
“Pemeriksaan yang dibuat turut bertujuan merawat penuntut yang mempunyai penyakit serta kecemasan lain,” jelas kenyataan itu.
Baru-baru ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, kampus induk UTM di Skudai akan dikenakan PKPD selama 14 hari sehingga 3 Jun ini ekoran terdapat penularan pandemik Covid-19 dalam kawasan kampus berkenaan.
Sementara itu, tambah UTM, sebelum ini klinik bergerak hanya beroperasi di tiga kolej kediaman sahaja namun ekoran PKPD, klinik itu akan berada di semua kolej kediaman mengikut jadual harian yang ditetapkan.
“Sesi pemeriksaan besar-besaran akan diteruskan bagi fasa kedua pada 28 dan 29 Mei nanti,” jelas kenyataan itu. – UTUSAN ONLINE