10 tahun uzur, jemaah bimbang Masjid Tanjung Api runtuh

10 tahun uzur, jemaah bimbang Masjid Tanjung Api runtuh

PENDUDUK berharap atap zink dan lantai Masjid Tanjung Api di Kuantan, Pahang yang dibina bercirikan seni bina masjid Melayu dibaik pulih demi keselamatan dan keselesaan jemaah ketika menunaikan solat. – FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Setiap kali hujan lebat, keadaan siling di ruang solat utama Masjid Tanjung Api di Taman Gelora di sini pasti basah termasuk di bahagian-bahagian lain.

Situasi itu berlanjutan selama 10 tahun dan dibimbangi struktur siling di masjid tersebut boleh runtuh jika masalah atap zink bocor tidak dibaik pulih.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Kampung Tanjung Api, Kampung Selamat dan Galing Kecil, Fazrul Nizam Kamal Bashah, 43, berkata, selain kebocoran atap zink, masjid itu juga berdepan masalah struktur lantainya yang tidak lagi kukuh.

“Lantai masjid ini diperbuat daripada kayu dan semakin uzur dan apabila kita solat lantainya akan berbunyi sana sini dan ada juga kawasan yang berbahaya untuk solat kerana kayunya sudah terlalu lembut. Terdapat juga kawasan lantai yang ada sarang anai-anai.

LANTAI dan tiang Masjid Tanjung Api di Kuantan, Pahang semakin uzur dimakan anai-anai bersarang.

“Kita bimbang apabila jumlah jemaah yang terlalu ramai pada satu-satu masa, lantai ruang solat utama masjid ini boleh runtuh secara tiba-tiba, ini yang kita tidak mahu berlaku,” katanya di sini semalam.

Bercerita tentang Masjid Tanjung Api, Fazrul Nizam ber­kata, masjid itu berusia kira-kira 36 tahun dan ia dibina berdasarkan seni bina masjid Melayu.

Masjid tersebut katanya, bercirikan tempatan dan menitikberatkan keadaan iklim dan sosiobudaya masyarakat Mela­yu setempat terutama di pantai timur.

“Konsep begini juga dite­rapkan juga pada sebahagian masjid di pantai barat Semenanjung, strukturnya dibina kira-kira 36 tahun lalu, kekal sehingga kini.

“Kita (penduduk) juga tidak mahu masjid ini diubah kerana strukturnya cantik dan bercirikan seni bina Melayu, cuma kita harap ia dibaik pulih,” katanya.

Beliau dalam pada itu berharap pihak berwajib di ne­geri ini dapat membantu bagi membaik pulih kerosakan atap zink dan lantai di masjid ber­kenaan.

Sementara itu, seorang jemaah, Muda Embong berkata, sebagai bekas bilal di situ, tentunya dia berharap agar kerosakan masjid berkenaan segera dibaik pulih.

“Dalam keadaan usianya yang lebih 35 tahun, tentu ada kerosakan-kerosakan yang per­lu dibaik pulih terutama atap zink dan lantai yang tidak per­nah ditukar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya