PUTRAJAYA: Sebanyak 1.261 juta dos
vaksin AstraZeneca sudah habis ditempah orang ramai untuk slot janji temu secara sukarela (pusingan kedua) pada hari ini.
Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) memaklumkan, daripada jumlah itu, sebanyak 275,208 dos
ditempah oleh warga emas sewaktu inisiatif ini mula dibuka sejak 23 Mei
lalu.
Katanya, sebanyak 956,609 tempahan bagi penduduk Malaysia berumur 18 tahun
ke atas telah dipenuhi hari ini hanya dalam tempoh sejam ketika mula dibuka pada pukul 12 tengah hari tadi.
“Sementara itu, seramai 29,183 orang dalam senarai menunggu
vaksin Astrazeneca sebelum ini telah dimasukkan ke dalam senarai giliran kali ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut CITF, sewaktu tempahan dibuka tengah hari tadi, gangguan teknikal telah berlaku menyebabkan pengguna menghadapi kesukaran mengakses beberapa butang ciri
laman sesawang CITF.
CITF memandang serius masalah teknikal yang dihadapi dan tindakan akan diambil kepada pihak yang berkenaan demi kepentingan awam dan
negara.
“Kami mengambil maklum bahawa ramai rakyat yang berminat untuk divaksin tetapi
telah gagal untuk membuat tempahan.
“Sehubungan itu, suka kami mengulangi bahawa
mereka yang telah mendaftar di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan(PICK) akan tetap mendapat suntikan vaksin di bawah PICK terutamanya apabila kadar
vaksinasi ditingkatkan dalam bulan-bulan mendatang,” katanya.
Pihak CITF mengalu-alukan sebarang maklum balas serta teguran daripada semua pihak bagi menambah baik program vaksinasi.
Pada masa sama, CITF mengucapkan terima kasih di atas sambutan baik orang ramai yang
menjalankan tanggungjawab masing-masing bagi memastikan negara mencapai imuniti kelompok seperti yang disasarkan. – UTUSAN ONLINE