PETALING JAYA: Seorang warga emas melecur selepas rumah banglo miliknya terbakar dalam kejadian di Taman Duta, dekat sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, beberapa pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul serta bantuan dari BBP Hang Tuan, BBP Sri Hartamas, BBP Titiwangsa dan BBP Taman Tun Dr. Ismail kekuatan 38 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
Komander Operasi Kanan, Mohd. Hafizan Hassan berkata, setibanya jentera di lokasi kejadian pihaknya mendapati terdapat kebakaran melibatkan sebuah rumah banglo dua tingkat jenis kekal.
“Kejadian itu turut melibatkan empat buah kenderaan jenis Toyota Camry, Toyata Hilux, Mercedes Benz dan Van Mitsubishi.
“Kira-kira 80 peratus kebakaran dan seorang lelaki iaitu pemilik rumah berusia 83 tahun mengalami kecederaan melecur di bahagian tangan dan badan,” katanya di sini hari ini.
Ujarnya, operasi pemadaman kebakaran telah dilakukan oleh anggota bomba dengan menggunakan teknik attacking dan defensive fire figthing sebelah kiri dan kanan rumah untuk mengawal kebakaran daripada merebak.
“Kebakaran dapat dikawal pada pukul 5.10 petang dan punca kejadian masih dalam siasatan,” ujarnya. – UTUSAN