MELAKA: Pengamal media yang bertugas di negeri ini bakal tergolong sebagai salah satu kumpulan penerima vaksin Covid-19 bagi fasa kedua yang dijangka bermula 19 April ini.
Memaklumkan perkara itu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, kerajaan negeri akan mengemukakan cadangan kepada Kementerian Kesihatan supaya pengamal media tidak diketepikan dan menjadi antara penerima awal selepas petugas barisan hadapan.
Beliau berkata, perkara itu perlu memandangkan para wartawan, jurugambar dan juruvideo yang berada di lapangan sering menghadiri program umum dan bertemu ramai orang serta berada di kawasan berisiko bagi membawakan perkembangan berita terkini kepada umum.
“Saya akan cuba sedaya-upaya saya untuk mendapatkan ‘slot’ kepada pengamal media termasuk media di Pejabat Ketua Menteri.
“Tidak mengapalah jika anak saya sendiri tidak dapat kerana dia muda lagi tetapi bagi individu-individu yang sentiasa bersama saya di program umum, saya akan cuba yang terbaik,” ketika ditemui pemberita selepas Sambutan Ulang Tahun RTM Ke-75 di Auditorim RTM Melaka di sini.
Pada Februari lalu, Melaka menerima sebanyak 8,190 dos vaksin Covid-19 untuk program vaksinasi fasa pertama.
Proses imunisasi telah dimulakan pada 2 Mac lalu melibatkan seramai 11,000 petugas barisan hadapan dan wakil rakyat di negeri ini.
Sulaiman menjadi individu pertama di Melaka dicucuk vaksin keluaran Pfizer-BioNTech berkenaan. – UTUSAN ONLINE